Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan
TUTONG, Isnin, 20 Julai. - Malam Muzikal Debu Hitam Band berjaya menghiburkan para pengunjung yang hadir di Pentas Perayaan Daerah Tutong pada malam tadi, anjuran Debu Hitam Band bersempena dengan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara berkenaan, Awang Abidin bin Bahar dari Kementerian Pendidikan.
Persembahan yang diadakan di Pentas Perayaan kawasan lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, di sini, menampilkan beberapa persembahan nyanyian yang ditampilkan oleh barisan ahli Debu Hitam Band.
Antara lagu yang dibawakan termasuklah Lagu Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Joget Seri Kenangan, Jujur, Hajat, Nuri, Cinta Yang Sempurna, Seribu Bintang dan bermacam lagi.
Penganjuran persembahan berkenaan bertujuan bagi menyemarakkan lagi kemeriahan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM di samping menghiburkan para pengunjung sekaligus memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan Daerah Tutong.
Pentas Perayaan Daerah Tutong akan terus menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan bercorak kebudayaan, hiburan, keagamaan dan beberapa aktiviti kemasyarakatan sepanjang tempoh sambutan berlangsung.
Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan persembahan Pentas Perayaan pada setiap malam diadakan sehingga 8 Ogos 2026, bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-80.