Memacu transformasi pendidikan, memperkasa profesionalisme guru

5 Nov 2026 - 7:45am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

TUNGKU LINK, Rabu, 4 November. - Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengurusan Pendidik, dengan kerjasama Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (IPSHB) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), mengadakan Persidangan Hari Guru sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36, Tahun 2026.

Persidangan selama dua hari hingga 5 November 2026 itu berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), dengan dihadiri oleh seramai 1,200 peserta dan tetamu yang terdiri daripada para pendidik, pemimpin sekolah kerajaan dan swasta serta wakil institusi pengajian tinggi di bawah kedua-dua kementerian berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada hari pertama ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

Bertemakan ‘Menjana Semula Pendidikan Untuk Masa Depan Yang Dinamik’, persidangan berkenaan bertujuan memperkukuh amalan profesional dalam kalangan pendidik, menggalakkan inovasi serta memupuk kerjasama dalam sektor pendidikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa, diikuti ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Awang Haji Tuah, selaku Pengerusi Bersama persidangan.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa usaha menjana semula pendidikan bukan sekadar memperkenalkan teknologi atau kaedah pengajaran baharu, malah merangkumi usaha mewujudkan pengalaman pembelajaran yang inklusif, menarik dan responsif terhadap keperluan pelajar.

Menurutnya, usaha tersebut turut memerlukan pemerkasaan para guru melalui keyakinan, kompetensi serta sokongan profesional bagi menerajui perubahan yang bermakna.

Beliau turut menjelaskan bahawa persidangan berkenaan menjadi wadah pertemuan para guru, pemimpin sekolah, penyelidik dan profesional pendidikan untuk bertukar-tukar pandangan, pengalaman serta amalan inovatif.

Perbincangan persidangan berpandukan tiga bidang utama, iaitu Memperkasa Pelajar Bersedia Masa Depan, Menginovasi Ekosistem Pendidikan dan Membangunkan Sumber Manusia, yang mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh pengajaran, pembelajaran serta kepimpinan pendidikan.

Acara diteruskan dengan penyampaian ucaptama bertajuk ‘Reimagining Education for a Dynamic Future’ oleh Presiden The Education University of Hong Kong dan Pengerusi UNESCO dalam Pembangunan Pendidikan Serantau dan Pembelajaran Sepanjang Hayat, Profesor John Lee Chi-Kin.

Ucaptama berkenaan antara lain mengetengahkan trend dan peluang baharu yang membentuk hala tuju serta masa depan pendidikan.

Sesi pagi hari pertama diakhiri dengan Learning Circle bersama penyampai ucaptama, manakala sesi petang diteruskan dengan ucaptama oleh Pengerusi ASEAN Counselling Network, Dr. Frederick Low Poi Kee, yang menyentuh aspek kesihatan mental, daya tahan pelajar dan kesejahteraan dalam persekitaran pendidikan.

Bagi sesi petang hari pertama dan sesi pagi hari kedua, persidangan turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

Pada hari kedua, persidangan diteruskan dengan syarahan plenari bertajuk ‘Strengthening Teacher Professionalism Grounded in Al-Quran and Al-Hadith: Leading a Dynamic Future Education’ yang disampaikan oleh Penolong Ra’es II (Hal Ehwal Akademik), KUPU SB, Dr. Dayang Norasimah binti Haji Omar.

Program turut diserikan dengan Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi dan Penghargaan kepada peserta yang berjaya menamatkan Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (Literacy and Numeracy Coaching Programme - LNCP 2.0) bagi Kohort 10, 11 dan 12.

Selain itu, sijil penghargaan juga disampaikan kepada Associate Facilitators (AF) dan Competency Trainers daripada Unit Tenaga Pengajar, Brunei Darussalam Leadership and Teacher Academy (BDLTA) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan profesional warga pendidik.

Persidangan hari kedua seterusnya diisi dengan pembentangan kertas penyelidikan secara selari serta bengkel interaktif yang memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengetahuan, meneroka pendekatan baharu dan memperluas amalan profesional dalam bidang pendidikan.

Selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023-2027, persidangan berkenaan turut memberi penekanan kepada beberapa keutamaan pendidikan, antaranya transformasi digital, amalan pengajaran dan pembelajaran inovatif, kepimpinan pendidikan, keterangkuman, kesejahteraan serta pembelajaran sepanjang hayat.

Persidangan itu juga mengiktiraf peranan penting para fasilitator dan pembimbing dalam melatih serta membimbing warga pendidik, memperkukuh komuniti pembelajaran profesional dan menyokong pembangunan kepimpinan dalam sistem pendidikan negara.

Melalui penganjuran persidangan tersebut, hasil perbincangan dan perkongsian diharap dapat memperkaya dialog profesional, merangsang inovasi serta memperkukuh kerjasama antara warga pendidikan dalam memastikan para pelajar mempunyai keupayaan untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang dalam dunia yang semakin dinamik.

Penganjuran Persidangan Hari Guru 2026 mencerminkan komitmen berterusan NBD dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan, inovasi dan pembangunan profesional, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.