Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman berangkat meninggalkan NBD

5 Nov 2026 - 8:34am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Rabu, 4 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haitham bin Tariq, Sultan Oman serta rombongan berangkat meninggalkan Negara Brunei Darussalam (NBD) pada pagi ini setelah selesai mengadakan Keberangkatan Negara selama tiga hari.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, selaku Wakil Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu-alukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman berangkat bersama-sama menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Turut berangkat ke The Empire Brunei bagi mengalu-alukan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, selaku Kerabat Pengiring.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman seterusnya berangkat melintasi Barisan Kawalan Kehormatan Statik yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Oman ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, selaku Menteri Pengiring; Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin; dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Kesultanan Oman, Puan Yang Terutama Hajah Noralizan binti Abdul Momin.