Oleh : Srinarawie Bidzah
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin berkata, negara masih berhadapan dengan perbelanjaan tahunan di tahap defisit. Mana-mana usaha untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan ‘revenue’ negara wajar diberi sokongan padu.
Yang Berhormat mengambil maklum penjelasan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi dan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri bahawa negara sudah mempunyai pelbagai ‘blueprint’, ‘industry roadmaps’ serta mekanisme penyelarasan bagi memacu pertumbuhan ekonomi.
"Kaola percaya sektor perniagaan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana turut menaruh harapan untuk dilibatkan sebagai rakan strategik, diberi sokongan yang bersesuaian agar mereka mendapat manfaat daripada pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini," kata Yang Berhormat dalam Perbahasan Usul pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat turut menghargai pendekatan yang digariskan oleh Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll dalam menangani isu keterjaminan makanan dan bekalan tenaga serta menyambut baik penekanan menteri terhadap penilaian risiko, perancangan ‘senario planning’, pemantauan berasaskan data melalui National Risk Monitoring Dashboard serta penggunaan ‘trigger points’ bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum sesuatu risiko berkembang menjadi krisis.
Yang Berhormat juga mengalu-alukan langkah-langkah yang diumumkan bagi memastikan bekalan makanan dan tenaga kekal mencukupi, mampu milik dan berdaya tahan melalui pengurusan stok strategik, kepelbagaian sumber bekalan, pemantauan harga serta langkah mitigasi kos sara hidup.
"Kaola percaya pendekatan ini setentunya dapat mempertingkatkan lagi tahap kesiapsiagaan negara secara lebih tersusun dan responsif. Rakyat berharapan penuh pendekatan penyelarasan yang telah digariskan oleh ketiga-tiga Yang Berhormat Menteri Penyelaras dapat diterjemahkan kepada sasaran, jadual pelaksanaan dan hasil yang jelas serta dikongsikan perkembangannya secara berkala agar rakyat dapat melihat dan menilai kemajuan dan memberi respons sepatutnya.
"Kaola juga mengambil maklum dan menghargai penjelasan Yang Berhormat Menteri di JPM mengenai Kerangka Kerja Wawasan Brunei 2035 melalui indeks Wawasan Brunei 2035 yang akan dilaporkan setiap tahun.
"Langkah seterusnya yang juga penting ialah memastikan diterjemahkan kerangka kepada ini ‘target’ pelaksanaan tahunan yang nyata, ‘map out’ mengikut ‘priority’ serta memastikan setiap inisiatif kementerian termasuk belanjawan negara dan Rancangan Kemajuan Negara akan diselaraskan dan ini juga termasuk menyelaraskan sumber kewangan tenaga manusia, data, infrastruktur ICT serta keupayaan ‘project delivery’ supaya setiap sasaran tahunan menjadi mempunyai sumber pemilik dan tempoh pelaksanaan yang jelas dan intervensi awal dapat mengelakkan keciciran," kata Yang Berhormat.
Yang Berhormat turut menghargai kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua membenarkan pindaan Usul dan menyambut baik keputusan dewan untuk merujuk Draf Kod Etika pada sebuah jawatankuasa bagi diperhalusi dalam tempoh enam bulan. Secara peribadi, perbahasan ini juga telah memberikan pengajaran yang bermakna.
Sementara itu dalam membangkitkan beberapa kebimbangan mengenai isi kod, Yang Berhormat merasakan ada pandangan Yang Berhormat disalah tafsir, disalahertikan tanpa diminta untuk memperjelaskan sepenuhnya.
Yang Berhormat tidak bercadang untuk merespons atau mendebatkan kesalahtafsiran atas dasar menghormati Perkara 12, Item 4 dan 5 dalam Peraturan Mesyuarat, Standing Orders ‘kitani’ sendiri.
"Kaola percaya inilah hakikat institusi yang matang apabila mempunyai berbeza pandangan dan tafsiran tetapi kita tetap saling menghormati perbezaan pendapat. Mohon berikan kesempatan untuk mengakhiri, terima kasih.
"Mereka yang mengikuti perbahasan Kod Etika telah menyaksikan lahirnya satu perkembangan positif, iaitu proses syura yang lebih matang dan alhamdulillah menghasilkan keputusan yang lebih baik, insyaaAllah.
"InsyaaAllah apabila kod ini diluluskan oleh dewan kelak, ini bukan sahaja akan memelihara martabat MMN, malah mampu memperkukuhkan peranan Ahli Yang Berhormat untuk terus berkhidmat dengan amanah, berintegriti dan profesional demi kepentingan agama, negara dan rakyat," ujar Yang Berhormat lagi.