Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) menganjurkan Program Bicara Sejarah sempena Pesta Buku Brunei (PBB) 2026 dengan mengetengahkan tema 'Kesinambungan Sejarah, Kedaulatan dan Identiti Negara'.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada program yang berlangsung di Pentas Kegiatan PBB 2026, Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong. Majlis turut dihadiri oleh pengarah - pengarah, pensyarah- pensyarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan kerajaan dan sektor swasta, ahli-ahli akademik dan mahasiswa serta mahasiswi institusi-institusi pengajian tinggi.
Program dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah serta Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Seterusnya, sesi forum berlangsung dengan menampilkan Penolong Ra'es (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk sebagai ahli panel, manakala Awang Muhammad Ataillah bin Haji Julaihi bertindak sebagai Moderator Forum.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan dan cenderamata oleh tetamu kehormat majlis kepada ahli panel dan Moderator Forum, diikuti penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat majlis.
Program bertujuan untuk membarigakan dan memasyarakatkan sejarah perjalanan kemerdekaan NBD, di samping memperkukuh penghayatan terhadap falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), semangat patriotisme, serta kesetiaan kepada raja dan negara.
Program juga dihasratkan menjadi wadah ilmiah bagi meningkatkan minat masyarakat, khususnya golongan belia, terhadap sejarah negara serta membuka ruang perbincangan mengenai kesinambungan kedaulatan NBD berasaskan warisan sejarah, nilai agama dan identiti kebangsaan.