Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BELAIT, Khamis, 20 Ogos. - Antara kelebihan berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ialah memperoleh rahmat dan pahala yang besar daripada Allah Subhanahu Wata'ala, mendapat kebaikan serta diampunkan dosa.
Amalan memperbanyakkan selawat juga menjadi sebab doa seseorang diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala, selain menjadi salah satu amalan yang dapat melepaskan seseorang daripada keresahan dan kesusahan pada Hari Kiamat.
Sehubungan itu, lewat petang tadi, bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, rombongan dikir Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait.
Mengetuai rombongan, Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Arman bin Haji Asmad.
Turut hadir, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KHEU, Ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Merangking, Daerah Belait, serta jemaah balai ibadat berkenaan.
Majlis diserikan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama, Pejabat Unit Da’wah Daerah Belait, KHEU, Awang Abdul Khaliq bin Kamree. Sejurus selepas itu, acara dikir pun dimulakan.
Bagi memberkati majlis, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Haji Akup bin Haji Lamat.
Majlis Dikir Maulud yang diadakan selama 12 malam berturut-turut di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara bertujuan untuk memperingati pengorbanan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menyebarkan syiar Islam, sekali gus menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Baginda.
Di samping menjadi salah satu usaha untuk memakmurkan masjid, majlis berkenaan juga menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid serta penduduk kampung di sekitarnya.
Rombongan KHEU seterusnya akan berkunjung ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, pada Isnin, 11 Rabiulawal 1448 bersamaan dengan 24 Ogos 2026, yang akan diselajurkan dengan Majlis Penutup Dikir 12 Malam Berturut-turut bagi masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448H/2026M.