Siaran Akhbar dan Foto : Syarikat Al-Muflihun Learning
BELAIT, Rabu, 28 Oktober. - Syarikat Al-Muflihun Learning & PQT | Private Quran Teacher dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Balai Ibadat Kampung Merangking dan Majlis Perundingan Kampung Merangking telah mengadakan Program Bimbingan Muallaf Siri Ke-2 : Pengukuhan Al-Quran bertempat di Balai Ibadat Kampung Merangking, baru-baru ini.
Menerusi sambutan yang amat menggalakkan daripada siri pertama yang telah diadakan di Bangunan Persatuan Sinar Islam, Al-Muflihun Learning & PQT | Private Quran Teacher meneruskan usaha untuk memperkembangkan lagi perjalanan siri bimbingan mualaf dengan memberikan fokus kepada masyarakat mualaf di kawasan Ulu Pedalaman Belait iaitu Kampung Merangking.
Seramai 50 peserta yang terdiri daripada masyarakat mualaf menyertai program pada kali ini yang memfokuskan kepada pengukuhan Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas.
Bimbingan yang disampaikan oleh Pengasas Al-Muflihun Learning, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar dan Pengasas PQT | Private Quran Teacher, Dayang Nur Darwismah binti Dahari, memberikan peluang kepada masyarakat mualaf untuk mengukuhkan lagi pembacaan surah dari sudut pemantapan makhraj huruf, hukum tajwid dan kelancaran bacaan.
Selain daripada itu juga, turut dikongsikan kelebihan setiap surah dan sekali gus menerokai sudut pemahaman peserta melalui kaedah penerapan bahasa Arab interaktif.
Melalui program ini juga, turut dijalankan sesi kaji selidik yang telah disediakan oleh kumpulan penyelidik kajian daripada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) sebagai keperluan bagi memenuhi tajuk penyelidikan ‘Penerapan Bahasa Arab Interaktif Sebagai Jambatan Pemahaman Awal Al-Quran Dalam Kalangan Mualaf di Brunei Darussalam’ yang diketuai oleh Dr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Abdul Karim daripada Fakulti Bahasa Arab.
Kajian yang dijalankan setelah program dilaksanakan itu bertujuan untuk menilai tahap kefahaman mualaf melalui pengajaran yang telah disampaikan sepanjang program.
Bersama-sama memberikan khidmat dalam memastikan kelancaran program bimbingan ini adalah penyertaan mahasiswa-mahasiswa daripada Fakulti Bahasa Arab sebagai salah satu usaha pihak penganjur dalam menyokong-sama keperluan pelajar dalam memenuhi syarat wajib kokurikulum bagi kod kursus Tanggungjawab Sosial dan Khidmat Masyarakat.
Program Bimbingan Muallaf ini juga diteruskan dengan Majlis Penutup dan Penghargaan kepada peserta-peserta selepas sesi pengajaran dilaksanakan.
Menerusi ucapan alu-aluan daripada pengerusi program, Awangku Abdul Qayum bin Pengiran Bakar yang juga selaku Pengasas Al-Muflihun Learning, mengharapkan agar program bimbingan yang dijalankan dapat memberikan semangat dan keyakinan kepada peserta dalam mengukuhkan lagi pembacaan Al-Quran serta menambahkan minat peserta dalam memahami bahasa Arab bukan sekadar daripada terjemahannya bahkan dari sudut penerapan bahasa Arab.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Dekan Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr. Dayang Hajah Rafidah binti Haji Abdullah.
Turut hadir dalam majlis penutup dan penghargaan bagi program tersebut, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Awang Mohammad bin Abdullah@Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat; Ketua Kampung Merangking, Awang Nurulizam bin Haji Abdul Rahman dan Penyelidik Bersama Kajian daripada Fakulti Bahasa Arab, UNISSA, Dr. Awang Zulamali@Abdul Aziz bin Begawan Mudim Pehin Khatib Dato Paduka Haji Matassan.