Memperkukuh kerjasama kewangan, ekonomi serantau

23 Okt 2026 - 7:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kewangan

HONG KONG, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Khamis, 22 Oktober. - Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah telah menghadiri Mesyuarat APEC Finance Ministers' Meeting (FMM) 2026 yang berlangsung pada 20 hingga 21 Oktober 2026 di Hong Kong SAR, People's Republic of China (PRC).

Mesyuarat APEC FMM tersebut telah dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, PRC, Tuan Yang Terutama Lan Fo'an dan dihadiri oleh Menteri-menteri Kewangan serta wakil-wakil daripada Ekonomi-ekonomi APEC.

Selaras dengan tema APEC 2026 iaitu 'Building an Asia-Pacific Community to Prosper Together', dan berpandukan keutamaan APEC 2026, iaitu 'Openness, Innovation, Cooperation', mesyuarat tersebut telah menegaskan semula komitmen untuk membina komuniti Asia - Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang tahun 2040 demi kemakmuran rakyat serta generasi yang akan datang.

Yang Berhormat menekankan kepentingan pembentukan dasar-dasar yang disesuaikan dengan kepelbagaian struktur ekonomi dan cabaran pertumbuhan jangka panjang dalam kalangan ekonomi APEC.

Yang Berhormat turut menggariskan tiga bidang keutamaan iaitu memperkukuh integrasi serantau dan daya tahan ekonomi; memelihara kestabilan makroekonomi dan kemampanan fiskal serta memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti dan menggalakkan pertumbuhan yang inklusif.

Mesyuarat turut menerima pakai kenyataan-kenyataan iaitu '2026 APEC Finance Ministers' Joint Statement' dan 'Policy Statement on Digital Infrastructure Financing Across the Asia - Pacific Region', sebagai panduan bagi memperkukuh kerjasama kewangan dan ekonomi serantau pada masa hadapan.

Di luar persidangan, Yang Berhormat mengadakan perbincangan dua hala bersama Tuan Yang Terutama Lan Fo'an bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang kewangan dan pelaburan, termasuk teknologi digital dan AI, perkembangan pasaran kewangan Hong Kong SAR serta peluang pelaburan di PRC bagi NBD.

NBD dan PRC turut menegaskan semula komitmen kedua-dua ekonomi untuk bekerjasama dengan semua ekonomi APEC dalam mendukung multilateralisme, memperkukuh penyelarasan dasar makroekonomi serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang yang mampan di rantau Asia - Pasifik.

Perbincangan dua hala yang berasingan turut diadakan bersama Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan Kedua, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Jeffrey Siow, bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama kewangan, pelaburan, perkembangan makroekonomi serantau, kemampanan fiskal serta integrasi kewangan digital.

Yang Berhormat turut mengadakan pertemuan bersama Presiden Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB), Puan Yang Terutama Zou Jiayi, Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority (HKMA); Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong; Setiausaha Perkhidmatan Kewangan dan Perbendaharaan Hong Kong (FSTB) serta Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong Investment Corporation Limited (HKIC).

Perbincangan tertumpu kepada peluang untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang kewangan, pelaburan dan pembangunan sektor swasta, termasuk teknologi digital dan AI.

Secara berasingan, Yang Berhormat turut menyampaikan ucaptama pada sesi dialog santai semasa Majlis Luncheon Fireside Chat yang dianjurkan bersama oleh Hong Kong - ASEAN Foundation dan Konsulat NBD di Hong Kong SAR pada 22 Oktober 2026.

Majlis tersebut menghimpunkan pegawai -pegawai kerajaan, wakil-wakil diplomatik, pemimpin-pemimpin perniagaan, ahli-ahli akademik serta wakil-wakil media bagi membincangkan prospek kewangan NBD dan ASEAN, perkembangan strategi pelaburan dalam era AI serta peluang kerjasama rentas sempadan.