Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Khamis, 22 Oktober. - Sesi Pleno China - ASEAN Prosecutors General Conference (CAPGC) Ke-16, dengan membawakan tema 'Protecting Children in the Digital Age : Harmonising Legal Frameworks and International Cooperation' telah diadakan di The Empire Brunei, hari ini.
Persidangan anjuran Pejabat Peguam Negara Brunei Darussalam (NBD) ini telah menghimpunkan ketua pendakwa raya dan wakil dari Republik Rakyat China dan Negara Anggota ASEAN, serta Hong Kong Special Administrative Region dan Macao Special Administrative Region bagi bertukar-tukar pengalaman dan memperkukuh kerjasama dalam melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan eksploitasi dengan menggunakan kaedah teknologi.
Persidangan tersebut dipengerusikan bersama oleh Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib dan Chief Grand Prosecutor and Prosecutor General Supreme People's Procuratorate Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Ying Yong.
Dalam menyampaikan ucapan alu-aluan, Yang Berhormat Peguam Negara dan Pendakwa Raya menekankan bahawa perlindungan kanak-kanak dalam era digital memerlukan kerangka perundangan domestik yang kukuh dan kerjasama antarabangsa yang efektif.
Yang Berhormat Peguam Negara seterusnya menitikberatkan keperluan yang mendesak untuk merapatkan jurang perundangan, prosedur dan maklumat melalui pemeliharaan bukti digital dengan segera serta pengukuhan hubungan rentas sempadan yang membolehkan tindak balas yang pantas.
Bagi merealisasikan keutamaan tersebut, Yang Berhormat Peguam Negara menyeru agar prosedur yang lebih jelas, komunikasi awal, latihan yang berterusan dan pertukaran profesional dapat dilaksanakan.
Sehubungan itu, Tuan Yang Terutama Ying Yong dalam menyampaikan ucaptama, menitikberatkan bahawa sejak penubuhan China - ASEAN Prosecutors - General Conference pada 2004, badan pendakwaan China dan negara ASEAN telah melaksanakan kerjasama praktikal yang meluas dan produktif, memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan pembangunan serantau.
Tuan Yang Terutama menekankan sebagai usaha pada masa akan datang, latihan sumber manusia akan terus diperkukuh bagi memastikan kedua-dua rantau memiliki keupayaan operasi bersama yang perlu bagi menangani cabaran perundangan dan serantau yang kian meningkat.
Peguamcara Negara, Dayang Hajah Zuraini binti Haji Sharbawi telah mengetuai delegasi NBD di persidangan tersebut dan menyampaikan Kenyataan NBD semasa Sesi Pleno.
Para delegasi turut berkongsi pandangan mengenai kerangka perundangan dan strategi negara masing-masing dalam melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan dalam talian.
Persidangan diakhiri dengan penandatanganan Joint Declaration of the 16th China ASEAN Prosecutors - General Conference. Deklarasi tersebut mengesahkan semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam menangani eksploitasi kanak-kanak dalam era digital, dengan mengutamakan kepentingan terbaik kanak-kanak dalam usaha tersebut.
Deklarasi itu juga menekankan kepentingan memperkukuh kerangka perundangan, meningkatkan keupayaan pendakwaan melalui latihan dan pertukaran profesional serta meningkatkan kesedaran orang ramai bagi mencegah dan menangani eksploitasi kanak- kanak secara dalam.
Penganjuran China ASEAN Prosecutors-General Conference Ke-16 oleh NBD mencerminkan komitmen yang berterusan dalam memperkukuh kerjasama pendakwaan serantau dan melindungi kanak-kanak dalam era digital.