Memperkukuh kesinambungan antara perancangan, pelaksanaan, hasil

11 Og 2026 - 9:51am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan ll, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof berkata, perbahasan turut mengingatkan kita bahawa Negara Brunei Darussalam (NBD) mempunyai pelbagai dasar, strategi, ‘blueprints’, program dan inisiatif.

Keutamaan sekarang ialah memperkukuh kesinambungan antara perancangan, pelaksanaan dan hasil. Ini memerlukan peneraju yang jelas, tanggungjawab yang difahami, garis masa yang realistik, penggunaan data dan bukti dalam membuat keputusan, serta tindakan awal apabila terdapat jurang atau cabaran pelaksanaan.

Yang Berhormat menyatakan perkara tersebut dalam Usul Penangguhan pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat menjelaskan, dalam perkara yang merentas kementerian dan agensi, penyelarasan perlu menghasilkan penyelesaian bukan menambah lapisan proses. Perkara yang berbangkit perlu ditangani pada peringkat yang bersesuaian manakala isu yang memerlukan keputusan bersama hendaklah dibawa melalui mekanisme yang tersedia dengan maklumat yang jelas dan pilihan tindakan yang praktikal.

Dengan cara ini tambah Yang Berhormat, tumpuan dapat terus diberikan kepada hasil yang hendak dicapai. Pada masa yang sama, usaha kerajaan sahaja tidak memadai. Sektor swasta, institusi pendidikan, penyelidikan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat akar umbi, belia serta rakyat dan penduduk katanya, mempunyai peranan masing-masing.

Pendekatan Whole of Nation jelas Yang Berhormat, memberi ruang supaya pengalaman, kepakaran, pelaburan, inovasi dan daya usaha daripada seluruh ekosistem negara dapat digembleng ke arah matlamat yang sama.

Ahli-ahli Yang Dilantik tambah Yang Berhormat, juga mempunyai peranan penting dalam hubungan ini. Pandangan yang dibawa dari masyarakat, industri dan akar umbi dapat terus menjadi input yang bernilai kepada pembentukan dan pelaksanaan dasar.

Perundingan dan permuzakarahan yang berterusan antara Ahli-ahli Yang Berhormat dengan kementerian dan agensi jelas Yang Berhormat lagi, akan memperkukuh kefahaman bersama serta membantu mengenal pasti penyelesaian yang lebih praktikal dan responsif serta bertahan.