Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 12 Julai. – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Kenegaraan hari ini menganjurkan Program Bicara Semarak Hari Keputeraan sebagai salah satu pengisian sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD berkenaan menghimpunkan Ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya Pengakap, Penolong-Penolong Pesuruhjaya Pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap serta ahli-ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Yang Dipertua PPNBD, ACP (B) Haji Abdul Murad bin Haji Abdul Hadi.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin.
Program bicara yang mengangkat tema 'Taat Setia Kepada Raja' menampilkan dua ahli panel, iaitu Penolong Profesor merangkap Koordinator Melayu Islam Beraja (MIB), Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Pengiran Dr. Khairul Rijal bin Pengiran Haji Abdul Rahim; dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Arkib, PPNBD, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah.
Dalam sesi perbincangan berkenaan, Pengiran Dr. Khairul Rijal telah mengupas konsep taat setia kepada raja dari sudut pandang akademik dengan meneliti asas-asasnya menurut perspektif Islam, falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), sejarah serta sistem kenegaraan Brunei Darussalam.
Sementara itu Awang Muhammad Syahmi pula membincangkan tema berkenaan daripada perspektif seorang pemimpin dalam PPNBD dengan menjelaskan bagaimana nilai taat setia kepada raja diterapkan melalui Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap serta diamalkan dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan dan khidmat kepada masyarakat.
Perbincangan turut menekankan kepentingan mentaati Allah Subhanahu Wata'ala, Rasul-Nya serta Ulil Amri yang sah, di samping memelihara taat setia kepada raja, agama dan negara sebagai asas kepada keamanan, perpaduan, kestabilan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.
Program berkenaan juga bertujuan meningkatkan kefahaman warga pengakap mengenai peranan mereka sebagai generasi pewaris negara yang bertanggungjawab, berdisiplin, berintegriti serta sentiasa menjunjung tinggi nilai-nilai kenegaraan dalam kehidupan seharian.
Penganjuran Program Bicara Semarak Hari Keputeraan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan PPNBD dalam memperkukuh pendidikan kenegaraan dan pembinaan sahsiah ahli-ahli pengakap melalui penghayatan falsafah MIB, di samping menyemai semangat patriotisme, taat setia kepada raja dan cinta akan negara.
Program berkenaan juga menjadi wadah bagi menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.