Memperkukuh pengurusan taman dengan piawaian diiktiraf antarabangsa

21 Jul 2026 - 7:59am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 20 Julai. - Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI), dengan kerjasama Jabatan Perhutanan telah melancarkan projek pensijilan Global Sustainable Tourism Council (GSTC) selama setahun bagi Taman Negara Ulu Temburong dan Taman Rekreasi Luagan Lalak pada Mei 2026.

Inisiatif berkenaan bertujuan untuk memperkukuh pengurusan mampan kedua-dua taman berkenaan selaras dengan piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, sekali gus meletakkan kedua-dua taman sebagai destinasi pelancongan mampan yang diperakui, sambil memelihara warisan semula jadi Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk generasi akan datang.

GSTC merupakan badan yang diiktiraf di peringkat global yang menetapkan dan mengurus piawaian antarabangsa bagi pelancongan dan perjalanan mampan. Pensijilan GSTC memberikan pengiktirafan rasmi antarabangsa bahawa sesebuah destinasi pelancongan diuruskan mengikut kriteria kemampanan yang ditetapkan, sekali gus meningkatkan kredibilitinya dalam kalangan pengunjung, rakan industri dan sektor pelancongan secara keseluruhan.

Pencapaian pensijilan GSTC akan memberikan pelbagai manfaat kepada Taman Negara Ulu Temburong dan Taman Rekreasi Luagan Lalak termasuk meningkatkan kredibiliti di peringkat antarabangsa, memperkukuh amalan kemampanan serta pengurusan pelawat, mempertingkatkan perlindungan terhadap aset semula jadi dan warisan budaya, serta meningkatkan keyakinan dalam kalangan pengunjung dan rakan industri pelancongan.

Pensijilan berkenaan juga berpotensi mengukuhkan kedudukan kedua-dua taman dalam pasaran pelancongan, menyokong pertumbuhan pelancongan yang bertanggungjawab, serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada komuniti tempatan dan perusahaan pelancongan.

Projek berkenaan merangkumi penilaian menyeluruh berdasarkan kriteria tarikan GSTC, penglibatan pihak berkepentingan, pembangunan kapasiti serta penyediaan pelan tindakan praktikal bagi menangani jurang yang dikenal pasti. Kedua-dua taman dipilih berdasarkan kekayaan biodiversiti, persekitaran semula jadi dan potensi ekopelancongannya.

Melalui inisiatif berkenaan, kedua-dua taman dijangka dapat mempertingkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar, memperkukuh pengurusan pelawat, meningkatkan pengalaman pengunjung serta menjana manfaat sosioekonomi kepada komuniti sekitar melalui amalan pelancongan mampan.

Sebagai sebahagian daripada projek berkenaan, penilaian awal telah dijalankan melalui lawatan ke tapak, semakan dokumen dan sesi perundingan bersama pihak berkepentingan bagi menilai prestasi kemampanan semasa kedua-dua taman berkenaan.

Bengkel kesedaran pihak berkepentingan turut diadakan bagi memperkenalkan pensijilan GSTC serta membentangkan dapatan awal, sekali gus memberikan kefahaman bersama mengenai proses pensijilan dan penambahbaikan yang diperlukan untuk memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

Inisiatif berkenaan menyokong keutamaan pembangunan negara yang lebih luas, termasuk Wawasan Brunei 2035, Pelan Hala Tuju Industri Pelancongan Negara Brunei Darussalam 2024–2035, serta Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs), melalui usaha mempromosi pemeliharaan alam sekitar, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi yang mampan.

JKP merakamkan penghargaan kepada Jabatan Perhutanan serta semua agensi yang terlibat, pengusaha pelancongan, komuniti tempatan dan pihak berkepentingan atas sokongan serta kerjasama yang diberikan.

Melalui jalinan kerjasama dan komitmen bersama terhadap kemampanan, projek berkenaan dijangka menyumbang ke arah memperkukuh kedudukan NBD sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi yang mampan.