Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
SABAH, Rabu, 22 Julai. - Satu sesi perbincangan antara Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) bersama Jabatan Sekolah-Sekolah (JSS) dan Jabatan Pendidikan Swasta telah diadakan di Jabatan Pendidikan Swasta bagi membincangkan penyertaan Negara Brunei Darussalam (NBD) dalam Kem Perpaduan dan Integrasi Madani - Kemping Madani 4.0 Peringkat Antarabangsa.
Program tersebut merupakan anjuran Sekolah Kebangsaan Pekan Menumbok dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Penyu dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos 2026 di Sabah, Malaysia.
Kemping Madani 4.0 merupakan undangan khas kepada sekolah-sekolah di NBD untuk menyertai program tersebut. JSS dan Jabatan Pendidikan Swasta telah memberikan peluang kepada sekolah-sekolah di bawah naungan PGGMB untuk mengambil bahagian dalam program berkenaan.
PGGMB menyambut baik kepercayaan yang diberikan dan telah bersedia serta bersetuju menerima undangan tersebut bagi mewakili Kementerian Pendidikan, NBD pada penganjuran tahun ini.
Penyertaan tersebut mencerminkan penghargaan dan kepercayaan Kementerian Pendidikan terhadap keupayaan PGGMB dalam menggalas tanggungjawab mewakili negara di peringkat antarabangsa. Sehubungan itu, segala persiapan akan diusahakan dengan kadar segera bagi memastikan penyertaan yang terbaik.
Hadir pada sesi perbincangan tersebut ialah Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri bersama Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB.
Turut hadir, Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Swasta, Dayang Hajah Hamidah binti Haji Daud bersama Pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Swasta, serta wakil daripada JSS, Dayang Mal Hafidah binti Haji Malek.
Antara objektif utama penganjuran Kemping Madani 4.0 ialah meningkatkan kualiti pembangunan bakat dan sahsiah murid di peringkat antarabangsa, memperluaskan jaringan dan kolaborasi pendidikan antarabangsa, membentuk generasi yang patriotik serta cintakan agama, bangsa dan negara, di samping membina keterampilan diri yang holistik agar mampu menghadapi pelbagai cabaran kehidupan pada era masa kini.