Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Oktober. - Jawatankuasa Keselamatan Elektrik (ESCOM), dengan sokongan daripada Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) melancarkan Siri Garis Panduan dan Amalan Terbaik ESCOM 2026 (Garis Panduan), hari ini, sekali gus menegaskan komitmen berterusannya dalam mempertingkatkan amalan keselamatan elektrik di tempat kerja dan pelbagai sektor industri di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pelancaran tersebut disertai dengan sesi sosialisasi yang berlangsung di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad selaku tetamu kehormat majlis.
Dalam ucapan perasmiannya, Awang Haji Muhsin menekankan kepentingan keselamatan elektrik dalam menyokong pembangunan NBD yang selamat dan mampan, khususnya seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi seperti sistem fotovoltaik solar, kenderaan elektrik dan hibrid serta infrastruktur pengecasan.
Perkembangan ini memerlukan pengurusan risiko yang berkesan dan langkah perlindungan yang bersesuaian bagi menangani bahaya elektrik yang berkaitan.
Awang Haji Muhsin turut menegaskan bahawa keselamatan elektrik merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan tindakan bersepadu antara pihak kerajaan, majikan dan pekerja dengan setiap pihak memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat.
Organisasi juga diseru untuk menerapkan panduan tersebut dalam amalan keselamatan elektrik sedia ada serta memastikan pelaksanaannya secara konsisten dan berkesan.
Sementara itu, Pengerusi ESCOM, Awang Haji Noryasmin bin Haji Mohd. Noor, menekankan bahawa pelancaran ini menandakan selesainya kitaran kerja kedua ESCOM, yang berlandaskan asas yang telah dibentuk semasa kitaran pertamanya.
Beliau menjelaskan bahawa garis panduan tersebut dihasilkan melalui usaha bersama Ahli-ahli ESCOM, kumpulan kerja teknikal dan organisasi yang terlibat, dengan menggabungkan kepakaran teknikal serta pengalaman praktikal industri bagi menangani cabaran keselamatan elektrik.
Sesi sosialisasi memberikan memperkenalkan lima penerbitan baharu yang merangkumi reka bentuk, pemasangan dan penyelenggaraan fotovoltaik solar (luar bangunan); pemasangan elektrik bagi pemasangan sementara; pengendalian selamat peralatan kuasa mudah alih yang menggunakan bateri dan keselamatan elektrik di kilang serta pengelasan kawasan berbahaya di kilang.
Para peserta diberikan penerangan mengenai penerbitan tersebut serta berpeluang untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman praktikal berkaitan keselamatan elektrik.
Pelancaran ini menegaskan komitmen ESCOM dan SHENA untuk terus memperkukuh keselamatan elektrik melalui kerjasama berterusan, perkongsian pengetahuan serta tindakan praktikal.
Organisasi digalakkan untuk menterjemahkan panduan tersebut kepada langkah-langkah yang melindungi pekerja dan individu lain yang terdedah kepada risiko elektrik, sekali gus menyumbang kepada tempat kerja dan sektor industri yang lebih selamat di NBD.