Menarik penglibatan belia dalam acara keagamaan

21 Og 2026 - 7:15am

Berita dan Foto : Ak. Mohamad Zaki Pg. Haji Kasharan

TUTONG, Khamis, 20 Ogos. - Bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim Kiudang dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang telah menganjurkan ‘Perayaan Mawlid 1.0 : Lakastah Bersatu Untuk Nabi Di Hati’ yang mengambil tempat di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.

Hadir sebagai tetamu kehormat majlis, Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haji Rosfazilah bin Haji Yusly.

Antara pengisian utama acara berkenaan termasuklah Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah dan juga Tazkirah Khas bertajuk ‘Selawat Bukti Cinta, Kunci Syafaat’ yang disampaikan oleh Imam Tingkat III, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Abdul Hadi bin Abd. Rahman, diikuti dengan persembahan Dikir Asarai yang dipersembahkan oleh Kumpulan Belia Masjid Bukit Beruang Tutong, persembahan Dikir Lama oleh Muslimah-muslimah Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang dan Dikir Asyarawal yang dipimpin secara gabungan oleh pegawai dan belia-belia Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang.

Adapun objektif utama penganjuran program berkenaan adalah untuk mengagungkan Nabi junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menarik penglibatan golongan belia dalam acara keagamaan serta melibatkan institusi kekeluargaan melalui pelbagai kegiatan yang telah dirancang.

Program berkenaan menyasarkan kepada penglibatan belia-belia Daerah Tutong, ahli-ahli takmir masjid, penduduk kampung dan orang ramai dari seluruh Daerah Tutong bagi menyemarakkan lagi Sambutan Maulidur Rasul dengan suasana ukhuwah dan kekeluargaan.