Menggalakkan pelajar mencapai kecemerlangan akademik

21 Og 2026 - 6:40am

Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Ogos. - Hengyi Industries Sdn. Bhd. (Hengyi) telah mengadakan Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries yang kedua, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang 15 pelajar dari Sekolah Menengah Pengiran Isteri Hajjah Mariam (SMPIHM), Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SMPDSM), Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali, Chung Hua Middle School Kuala Belait dan Pusat Tingkatan Enam Meragang (PTEM).

Inisiatif berkenaan bertujuan untuk menggalakkan para pelajar mencapai kecemerlangan akademik serta memberi inspirasi kepada mereka untuk meneroka peluang kerjaya pada masa hadapan dalam industri petrokimia.

Majlis Penyampaian Anugerah dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan taklimat keselamatan, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan Sumber Manusia, Zhou Fu Zhen.

Dalam ucapannya, Zhou Fu Zhen mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah atas pencapaian mereka, sambil menekankan bahawa Anugerah Kecemerlangan Akademik 2026 merupakan tahun kedua berturut-turut inisiatif berkenaan dianjurkan oleh Hengyi.

Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk generasi bakat masa hadapan yang akan menyumbang kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Selepas ucapan alu-aluan, para tetamu menyaksikan tayangan video yang mengetengahkan operasi Hengyi serta sumbangannya terhadap pembangunan sosioekonomi NBD. Video berkenaan turut memaparkan Program Biasiswa dan Kerjasama Bersama Hengyi, yang mengetengahkan laluan pendidikan dan peluang yang tersedia kepada para pelajar yang berminat untuk menceburi kerjaya dalam industri petrokimia.

Kemuncak acara ialah penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries kepada 15 pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan GCE ‘O’ Level dan GCE ‘A’ Level.

Penyampaian anugerah kepada penerima GCE ‘O’ Level, disempurnakan oleh Zhou Fu Zhen; manakala Pengarah Sumber Manusia Hengyi, Alan Goh pula menyampaikan anugerah kepada penerima GCE ‘A’ Level.

Setiap penerima menerima sijil kecemerlangan serta wang tunai sebanyak BND300 sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.

Acara kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan lawatan berpandu ke tapak Hengyi, yang memberikan para peserta gambaran lebih dekat mengenai operasi sebuah kompleks petrokimia moden serta pemahaman yang lebih mendalam tentang pelbagai laluan kerjaya yang tersedia dalam industri berkenaan.

Ditubuhkan pada Mei 2025, Anugerah Kecemerlangan Akademik Hengyi Industries merupakan satu inisiatif di bawah Hengyi Future-Ready, iaitu teras utama Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat yang memberi tumpuan kepada sokongan terhadap pendidikan, pembangunan bakat dan persediaan tenaga kerja masa hadapan di NBD.

Anugerah berkenaan turut mencerminkan visi Hengyi, iaitu ‘Excellence in Developing Petrochemicals through Pursuing Innovation and Business Sustainability’.

Melalui pembangunan generasi bakat tempatan pada masa hadapan, Hengyi berhasrat membina barisan tenaga profesional berkemahiran yang mampu menyumbang idea-idea inovatif serta kepakaran teknikal bagi terus memperkukuh industri petrokimia NBD.