Meningkatkan kemahiran peserta dalam lagu Dikir Brunei

22 Jul 2026 - 5:31am

Siaran Akhbar dan Foto : Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong

TUTONG, Selasa, 21 Julai. - Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong dengan kerjasama masjid-masjid di Daerah Tutong telah mengungkayahkan Bengkel Dikir Syarafil Anam (Dikir Brunei) kali ketiga sebagai usaha memelihara dan memperkasa warisan Dikir Brunei di samping menyemarakkan syiar Islam.

Sehubungan itu, acara penutup bagi bengkel berkenaan berlangsung di Masjid Kampung Penanjong, Daerah Tutong.

Bengkel berkenaan disasarkan kepada para pegawai masjid termasuk imam, bilal dan marbut, di samping ahli jawatankuasa takmir, Muslimah serta jemaah masjid.

Program berkenaan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran peserta dalam lagu-lagu Dikir Brunei, mencungkil bakat baharu, mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat keislaman dan perpaduan dalam kalangan warga masjid dan masyarakat.

Bengkel yang diadakan sebanyak empat sesi di bulan Julai berkenaan diadakan di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang; Masjid Ar-Rahim, Kampung Bukit Panggal; Masjid Kampung Telisai; dan Majlis Penutup Bengkel di Masjid Kampung Penanjong.

Majlis Penyampaian Sijil kepada para peserta telah disempurnakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Aidil Sufian bin Mohd. Yassin.

Melalui penganjuran bengkel berkenaan, adalah diharapkan agar para peserta akan terus menguasai dan memartabatkan Dikir Brunei sebagai khazanah warisan Islam di Negara Brunei Darussalam serta berupaya menyumbang kepada pengisian majlis-majlis keagamaan di masjid dan dalam masyarakat.