Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri
BANGKOK, THAILAND, Sabtu, 29 Ogos. - Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) ke The 29th ASEAN Labour Ministers Meeting and Related Meetings dan The 14th ASEAN Plus Three Labour Ministers Meeting (ALMM+3) yang berlangsung pada 26 hingga 27 Ogos 2026 di Bangkok, Thailand.
Persidangan tersebut menghimpunkan Menteri-menteri Buruh daripada Negara-negara Anggota ASEAN bagi membincangkan hala tuju kerjasama serantau dalam memperkukuh pembangunan tenaga kerja serta menangani perubahan dan cabaran dalam dunia pekerjaan.
Persidangan pada tahun ini telah diadakan dengan tema 'Advancing ASEAN Human Capital : Skills Certification towards Global Recognition', yang menekankan kepentingan pembangunan modal insan, pengiktirafan kemahiran serta penyediaan tenaga kerja ASEAN yang berdaya saing dan bersedia menghadapi keperluan ekonomi masa hadapan.
The 29th ASEAN Labour Ministers Meeting and Related Meetings turut dihadiri secara bersemuka oleh Menteri-Menteri Buruh / Ketua-ketua Delegasi dari Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Lao, Malaysia, Myanmar, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand, Republik Demokratik Timor-Leste dan Republik Sosialis Viet Nam, manakala Kemboja menyertai mesyuarat secara maya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN. Seterusnya, the 14th ASEAN Plus Three Labour Ministers' Meeting (ALMM+3) turut disertai oleh Menteri-Menteri Buruh / Ketua-Ketua Delegasi dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.
Semasa sesi pertukaran pandangan, Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menekankan kepentingan kompetensi dan pensijilan kemahiran yang disokong oleh ekosistem pembangunan tenaga kerja yang menyeluruh, termasuk pendidikan dan latihan berkualiti, penglibatan industri serta pembelajaran sepanjang hayat.
Ke hadapan, NBD akan terus menyokong kerjasama serantau dalam isu-isu perburuhan termasuk dalam bidang pembangunan kemahiran dan menyokong pekerjaan yang mampan.
Kedua-dua Mesyuarat ALMM Ke-29 dan ALMM+3 Ke-14 menekankan kepentingan untuk memperkukuh pembangunan modal insan dan mempersiapkan tenaga kerja serantau dalam menghadapi perubahan teknologi, peralihan ke arah ekonomi hijau dan digital, perubahan demografi serta perkembangan pasaran buruh.
Antara keutamaan yang diketengahkan termasuk pembangunan kemahiran dan pensijilan yang responsif terhadap keperluan industri, pengukuhan jaminan kualiti dan pengiktirafan kelayakan, penglibatan yang lebih erat dengan pihak majikan dan pekerja, serta peningkatan kerjasama serantau bagi memperkukuh kebolehbandingan kemahiran dan mobiliti tenaga kerja.
Mesyuarat-mesyuarat berkenaan turut menegaskan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, pekerjaan yang berkualiti dan inklusif, daya tahan tenaga kerja serta memastikan tenaga kerja serantau dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi dunia pekerjaan masa hadapan.
Yang Berhormat turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Buruh Thailand, Tuan Yang Terutama Julapun Amornvivat; Pemangku Menteri Tenaga Manusia Republik Singapura, Puan Yang Terutama Jasmin Lau dan Director General Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Tuan Yang Terutama Gilbert F. Houngbo, bagi bertukar-tukar pandangan mengenai isu perburuhan, tenaga manusia dan pembangunan tenaga kerja termasuk peluang pembangunan kapasiti dalam bidang-bidang keutamaan.
Dalam pertemuan bersama Menteri Buruh Thailand, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala, termasuk perkembangan Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang pekerjaan antara kedua-dua negara, di samping bertukar pandangan mengenai isu-isu semasa seperti peluang pekerjaan dalam ekonomi gig.
Manakala, pertemuan bersama Pemangku Menteri Tenaga Manusia Republik Singapura pula menyentuh mengenai pelaksanaan progressive wage, kebolehpasaran graduan, pembangunan tenaga kerja dan kemahiran serta pengurusan tenaga kerja asing, termasuk kepentingan memastikan pendidikan dan latihan adalah selaras dengan keperluan semasa.
Sementara itu, dalam pertemuan bersama Director General ILO, perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama antara NBD dan ILO melalui pembangunan kapasiti, latihan serta sokongan teknikal dan kepakaran, di samping bertukar pandangan mengenai pengukuran kadar pengangguran, pendekatan gaji sara hidup (living wage) dan isu-isu perburuhan semasa.
Menjelang persidangan di peringkat menteri, Setiausaha Tetap (Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Siti Norashikin binti Mohammad Salleh telah menghadiri The 22nd ASEAN Senior Labour Officials Meeting dan The 24th ASEAN Plus Three Senior Labour Officials Meeting yang berlangsung pada 24 hingga 25 Ogos 2026.
Mesyuarat-mesyuarat tersebut turut membincangkan perkembangan pelaksanaan ASEAN Labour Ministers' Work Programme 2026-2030 dan program-program kerja badan-badan subsidiari di bawahnya, serta pelbagai inisiatif dan dokumen hasil ASEAN dalam bidang perburuhan.
Penyertaan NBD di dalam mesyuarat-mesyuarat berkenaan mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang buruh dan pembangunan modal insan. Ia juga memberi peluang kepada NBD untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik negara, menyumbang kepada pembentukan hala tuju kerjasama ASEAN dan ASEAN Plus Three, serta memastikan pembangunan tenaga kerja negara terus responsif terhadap perubahan dan keperluan dunia pekerjaan masa hadapan.