Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Ihsan Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung Keriam
KAMPUNG KERIAM, Selasa, 13 Oktober. - Semangat gotong-royong dan keprihatinan terhadap kebajikan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) terus diperkukuh melalui Program Rintis Membersihkan Halaman Luar Rumah Warga OKU bagi kediaman Dayang Salamah binti Sahadan, di sini.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama antara Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Bahagian Perkhidmatan OKU, Pusat Bahagia Tutong, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta Majlis Perundingan Kampung Keriam (MPKK).
Seramai 39 peserta daripada PKBN, termasuk pegawai pengawas, dan 15 peserta daripada Bahagian Perkhidmatan OKU, Pusat Bahagia Tutong, JAPEM, menyertai program berkenaan.
Rombongan PKBN diketuai oleh Pegawai Latihan PKBN, Awang Mohd. Raffi bin Ali Noordin, manakala rombongan Pusat Bahagia Tutong diketuai oleh Penolong Pengajar Kanan, Awang Mohammad Aidil bin Jahali.
Sebelum aktiviti dimulakan, Ketua Kampung Keriam, Awang Haji Bahrin bin Haji Bolhassan, menyampaikan taklimat kepada para peserta bagi memastikan kerja-kerja dilaksanakan secara teratur dan lancar.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk membersihkan kawasan luar rumah dan memotong rumput bagi memastikan persekitaran kediaman lebih bersih, kemas dan selesa, khususnya bagi penghuni yang mempunyai keterbatasan pergerakan dan menggunakan kerusi roda.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan tenaga dan khidmat bakti para peserta, keluarga tuan rumah, Awang Haji Nordin bin Saban, turut menghulurkan sumbangan sagu hati kepada peserta PKBN dan Pusat Bahagia Tutong, JAPEM.
Selaku Ketua Kampung Keriam merangkap Pengerusi MPKK Keriam, Awang Haji Bahrin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama serta komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat, di samping meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan warga OKU.
Program rintis berkenaan mencerminkan kepentingan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam membina masyarakat yang prihatin, inklusif dan saling membantu, selaras dengan aspirasi untuk memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian dan sokongan masyarakat.