Menjadikan ilmu sebagai pedoman kehidupan, mengenal Allah

15 Nov 2026 - 6:01am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin

BERAKAS, Sabtu, 14 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman pada hari ini berkenan berangkat ke Ceramah Perdana Majlis Ilmu Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Berangkat sama, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.

Keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2026 dan isteri-isteri serta Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2026.

Terdahulu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Ugama Kanan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Ernalisa @ Hanisah 'Aqilah binti Haji Shaheed.

Diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Peguam Negara, Yang Berhormat Datin Seri Paduka Dayang Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohammed Taib selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2026.

Acara diteruskan dengan sesi Ceramah Perdana bertajuk 'Wanita Pewaris Nilai MIB, Pembentuk Generasi Negara' yang disampaikan oleh Penolong Profesor, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman selaku penceramah undangan.

Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah dalam ceramahnya menggariskan empat amalan untuk diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Pertama, teruskan menuntut ilmu sepanjang hayat kerana ilmu ialah panduan untuk mengenal Allah, memahami tanggungjawab dan membuat pilihan yang benar.

Kedua katanya lagi, kuatkan pergantungan kepada Allah melalui doa. Dalam kesibukan wanita mengurus keluarga, pekerjaan dan masyarakat, wanita memerlukan hati yang teguh, memohon pertolongan Allah untuk memelihara iman, membimbing keputusan dan memberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah.

Manakala ketiga tambahnya, ialah bina lingkungan yang soleh dan saling menguatkan, iaitu dekatilah diri dengan orang yang sering mengingatkan kepada Allah dan keempat, ‘refresh’ kembali hubungan sebagai hamba Allah.

Islam jelasnya, mengangkat martabat wanita yang direndahkan pada zaman jahiliah, mengiktiraf kemuliaan mereka serta menjamin hak dan kehormatan mereka sebagai insan.

“Alhamdulillah, Islam mengangkat kedudukan wanita dan memuliakannya. Menjadi tanggungjawab ‘kitani’ bersama untuk terus memelihara maruah, serta mendidik golongan wanita dengan penghayatan dan pengamalan Islam yang sebenar.

“Di Negara Brunei Darussalam (NBD), wanita menyumbang kepada masyarakat melalui pelbagai profesion. Dalam apa jua profesion, wanita dapat menghidupkan nilai Melayu Islam Beraja (MIB) melalui cara mereka bekerja, memimpin dan melayani orang lain dengan penuh amanah dan berakhlak,” ujarnya lagi.

Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan berangkat bagi menandatangani lembaran kenangan dan menerima pesambah.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM berkenan menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2026 dan bergambar ramai bersama Ahli Jawatankuasa Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2026.

Majlis Ilmu pada tahun ini membawa tema 'MIB : Tonggak Kedaulatan Negara' dan Ceramah Perdana hari ini merupakan lanjutan daripada Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2026 pada 7 November 2026 dan Forum Perdana Majlis Ilmu 2026 pada 12 November 2026.

Ceramah Perdana sempena Majlis Ilmu 2026 berkenaan diungkayahkan bersama oleh Kementerian Pendidikan; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; dan Pejabat Peguam Negara, Jabatan Perdana Menteri di bawah Jawatankuasa Kerja Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2026.

Bagi mendapatkan maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2026, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang 'www.majlisilmu.gov.bn'.