Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Sabtu, 14 November. - Brunei Fertilizer Industries Sdn. Bhd. (BFI) terus memainkan peranan penting dalam pembangunan industri hiliran negara sejak memulakan operasinya pada tahun 2022, sekali gus berkembang sebagai antara pengeluar utama baja nitrogen dan bahan kimia industri di Asia Tenggara.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi BFI, dalam ucapan sempena pelancaran Laporan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertama BFI yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, pagi tadi.
Yang Berhormat Menteri Kewangan II menegaskan bahawa pertumbuhan syarikat berkenaan turut membawa tanggungjawab untuk memastikan operasi dilaksanakan secara mampan, dengan mengambil kira kesejahteraan masyarakat, pemeliharaan alam sekitar dan sumbangan kepada pembangunan negara.
Menurutnya, kelestarian merupakan aspek penting dalam hala tuju dan masa depan BFI, khususnya memandangkan industri baja memainkan peranan penting dalam menyokong sektor pertanian dan keselamatan makanan global.
Sehubungan itu, BFI perlu terus menambah baik operasi, meningkatkan kecekapan penggunaan sumber serta mengamalkan pendekatan lebih mampan bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Laporan ESG pertama berkenaan merupakan platform bagi syarikat untuk berkongsi inisiatif, pencapaian serta bidang yang masih memerlukan penambahbaikan, di samping memperlihatkan komitmen terhadap ketelusan dan tanggungjawab korporat.
Antara kemajuan yang dicapai termasuk memperkukuh aspek kesihatan dan keselamatan pekerjaan, membangunkan bakat serta keupayaan tenaga kerja tempatan, meningkatkan kebolehpercayaan operasi, mengurus impak alam sekitar dan menyumbang kepada masyarakat.
Yang Berhormat turut menekankan kepentingan mengekalkan standard etika, integriti dan akauntabiliti yang tinggi dalam setiap urusan serta keputusan syarikat bagi memastikan kepercayaan pihak berkepentingan, rakan perniagaan dan masyarakat terus terpelihara.
Usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam menyokong kepelbagaian ekonomi dan memperkukuh sektor bukan minyak dan gas. Selain itu, BFI turut menyumbang melalui pewujudan peluang kepada perniagaan tempatan serta pembangunan bakat dan keupayaan anak tempatan.
Yang Berhormat menegaskan bahawa pembangunan industri perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab sosial dan alam sekitar, manakala usaha ke arah kelestarian memerlukan komitmen, konsistensi dan penambahbaikan berterusan.
Pada mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah BFI, pihak pengurusan dan seluruh warga kerja syarikat atas dedikasi serta sumbangan mereka dalam menjayakan pelbagai inisiatif dan pencapaian yang terkandung dalam laporan berkenaan.