‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’ serikan Majlis Dikir Maulud

20 Og 2026 - 9:32am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 19 Ogos 2026. - Majlis Dikir Maulud sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam malam ketujuh berlangsung di Surau Istana Nurul Iman malam tadi dengan penyertaan seramai 225 orang.

Hadir menyertai majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 85 orang merupakan jemputan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, 60 orang daripada Kumpulan Dikir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, 30 orang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir dan Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid An-Na’im, Kampung Panchor Mengkubau, manakala 30 orang lagi dari Jabatan Pendidikan Islam (JPI), Bahagian Sekolah Umum.

Bagi jemputan perempuan pula, seramai 85 orang terdiri daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama, 40 orang dari Kumpulan Dikir Jemaah Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, 20 orang dari MPC Penanjong, selain turut disertai oleh Muslimah Masjid dan KBM Masjid Kampung Lumapas serta JPI, Bahagian Sekolah Ugama Daerah Belait.

Pengisian majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan tazkirah bertajuk ‘Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam’ yang mengupas sejarah kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui ‘Doa Memohon Keberkatan Dunia dan Akhirat’, disampaikan oleh Awang Muhammad Safwan bin Mohd. Suffian.

Acara seterusnya dimeriahkan dengan persembahan Dikir Assalamualaika, Dikir Asyrakal, Dikir Khairuman serta dikir-dikir seterusnya.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Dikir dan Doa Peliharakan Sultan sebagai tanda kesyukuran, di samping memohon keberkatan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berterusan bagi Negara Brunei Darussalam serta keselamatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.

Majlis Dikir Maulud berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian acara yang berlangsung selama 12 malam berturut-turut sehingga 12 Rabiulawal 1448 Hijrah, bersamaan 24 Ogos 2026.