Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Isnin, 24 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan pentingnya integriti dan memelihara amanah dalam kalangan pegawai dan kakitangan yang mengendalikan urusan zakat.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah demikian semasa berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
“Beta tahu ada isu moral dan etika kerja di kalangan pegawai dan kakitangan mengendali zakat,” titah baginda.
Dalam titah, baginda menegaskan sudah mengingatkan kepada semua pihak, termasuk Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), supaya sentiasa berpegang kepada integriti dan memelihara amanah serta jangan ada amalan yang menyeleweng wujud dalam MUIB yang boleh mengganggu ‘progress’ dan keputusan yang dibuat oleh MUIB.
“Namun beta masih perlu bertanya, apakah peringatan ini sudah didengar, atau ia didengar tetapi tidak diendahkan?”, titah baginda.
Dalam hubungan itu, baginda bertitah mahu perubahan dan hasil perubahan itu dilaksanakan dalam kadar segera.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya menitahkan supaya MUIB, KHEU dan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB) menyusun semula strategi dengan mengambil kira perkara-perkara yang telah disentuh, khususnya dalam usaha memperkukuh pengurusan dan pentadbiran zakat.
Dalam memastikan amanah tersebut dilaksanakan untuk mencapai matlamat dan prestasi yang dihasratkan, baginda bertitah menegaskan untuk menggunakan jentera-jentera kerajaan yang sedia ada dan juga pihak swasta.
“Gunakanlah jentera-jentera kerajaan yang sedia ada dan juga pihak swasta dalam memastikan amanah ini dilaksanakan untuk mencapai matlamat dan prestasi yang dihasratkan,” titah baginda.
Baginda bertitah mahu semua pihak yang bertanggungjawab menyediakan perancangan, pelan tindakan, sasaran yang jelas dan mekanisme pemantauan yang berkesan, yang dapat dilihat hasilnya dalam tempoh empat bulan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah memaklumkan bahawa selagi perkara-perkara berkenaan belum diselesaikan, baginda akan terus mengambil perhatian terhadap isu tersebut dan mengadakan perbincangan mengenainya pada bila-bila masa yang sesuai.