Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September. - Dalam memastikan persiapan dan pengurusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, lancar dan berkesan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, (KHEU) bersama-sama Kementerian Haji dan Umrah, Kerajaan Arab Saudi mengadakan Mesyuarat Persiapan Pengurusan Haji bagi Musim Haji Tahun 1448 Hijrah / 2027 Masihi secara dalam talian.
Bagi pihak KHEU, mesyuarat tersebut diadakan di Bilik Musyawarah, Tingkat 4, Bangunan Darul Itqan, KHEU, Jalan Dewan Majlis, Berakas.
Mewakili KHEU pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap KHEU, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad, selaku Pengerusi; Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Jabatan Perdana Menteri (JPM), Awang Ajman bin Haji Meludin; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Suhara Fadzali bin Haji Yusop, selaku wakil Setiausaha Tetap MTIC; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, selaku wakil Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam (NBD) ke Riyadh, Arab Saudi, Tuan Yang Terutama Haji Harun bin Haji Junid; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Pemangku Konsul Agung NBD di Jeddah, Dayang Nur Farahanah binti Haji Sarbini; Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md Khalifah bin Pengiran Haji Ismail; Pengarah Urusan Haji, KHEU, Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad; Pemangku Timbalan Pengarah (Kemajuan) Radio Televisyen Brunei (RTB), Awang Muhammad Zulkarnain bin Haji Brahim@ Ahmad, selaku wakil Pemangku Pengarah RTB; Ketua Pegawai Komersial, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB), Joshua Kok Hwa Law; dan Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, KHEU, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.
Mesyuarat berkenaan antara lain membincangkan perkara-perkara berkaitan kuota jemaah haji dan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (PUJH) NBD, syarat-syarat dan keperluan haji, penerbangan haji, perkhidmatan perubatan dan kesihatan serta Media Pelapor Haji bagi Musim Haji 1448 Hijrah/2027 Masihi.
Mesyuarat turut membincangkan isu-isu yang berbangkit daripada pengurusan Musim Haji 1447 Hijrah / 2026 Masihi serta cadangan-cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan lagi pengurusan jemaah haji pada musim akan datang.
Hasil perbincangan mesyuarat tersebut akan dibawa ke peringkat menteri untuk perbincangan lanjut semasa Persidangan dan Pameran Haji Edisi Ke-6 (6th Edition of Hajj Conference and Exhibition) yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada bulan November 2026.