Mesyuarat Kedua MMN Ke-22 bermula 3 Ogos

20 Jul 2026 - 8:26am

Siaran Akhbar : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Julai. - Majlis Mesyuarat Negara (MMN) memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi Mesyuarat Kedua Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN untuk bermula pada Isnin, 3 Ogos 2026 bersamaan 19 Safar 1448 Hijrah bertempat di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

Mesyuarat Kedua ini akan memberi tumpuan kepada urusan-urusan persidangan termasuk Pertanyaan, Kenyataan Menteri dan Usul-Usul bagi membincangkan pelbagai agenda berkepentingan negara. Mesyuarat ini dijangka meneliti pelbagai perkara berkaitan dasar, tadbir urus dan pembangunan negara selaras dengan keutamaan semasa, ke arah mendukung kemajuan serta kesejahteraan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan MMN akan dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.

Ahli-ahli MMN yang terdiri daripada Ahli Rasmi Kerana Jawatan serta Ahli Yang Dilantik daripada kalangan Orang-orang Yang Bergelar, Orang-orang Yang Telah Mencapai Kecemerlangan, dan Wakil-wakil Dari Daerah-daerah akan bersidang dalam suasana muafakat bagi meneliti perkara-perkara yang dibentangkan di hadapan dewan. Melalui perbahasan yang tertib dan berhemah, Ahli-ahli MMN akan menyumbangkan pandangan serta buah fikiran yang konstruktif dalam menimbangkan isu-isu yang berkepentingan kepada rakyat dan negara.

MMN merupakan institusi perundangan tertinggi negara yang berperanan sebagai wadah perbahasan, penelitian dan pertimbangan terhadap dasar-dasar, perundangan serta perkara-perkara yang berkepentingan kepada negara. Persidangan MMN mencerminkan amalan musyawarah dalam proses pemerintahan negara, di mana pandangan daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran bersama-sama menyokong usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke arah memperkukuh tadbir urus, memajukan pembangunan negara serta mengekalkan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran Negara Brunei Darussalam.

Dalam siaran akhbar Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat ini juga memaklumkan, Sesi Persidangan MMN ini dibukakan kepada orang awam yang berminat untuk melihat dan mendengarkan perbahasan dan perbincangan. Orang awam yang berminat dialu-alukan untuk menghadiri dan menyaksikan sesi perbahasan secara langsung di Dewan Persidangan. Perkhidmatan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris (translation services in English) juga tersedia dengan permohonan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum kehadiran.

Institusi pendidikan dijemput untuk membawa penuntut-penuntut sebagai pendedahan mengenai MMN termasuk proses perundangan negara dan perbahasan di dalam Dewan Persidangan MMN. Permohonan lawatan boleh dibuat melalui surat rasmi kepada Urus Setia MMN sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh lawatan.

Rakaman persidangan harian boleh diikuti melalui saluran RTB Perdana dan RTB Sukmaindera pada pukul 9.00 malam bagi rakaman bahagian satu dan diikuti lagi pada pukul 11.00 malam bagi rakaman bahagian dua.

Dokumen Rasmi persidangan seperti Penyata Rasmi (Hansard), Minit Mesyuarat dan Perintah Harian bolehlah diakses melalui laman sesawang www.majlis-mesyuarat.gov.bn atau www.councils.gov.bn.

Maklumat terkini dan perkembangan persidangan, juga akan diterbitkan dalam Instagram rasmi @legcobrunei.