Oleh : Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin
Foto : Azmah Haji Ahad
TUNGKU LINK, Selasa, 14 Julai. - Politeknik Brunei (PB) mengadakan Minggu Orientasi bagi Pelajar Baharu Pengambilan Ke-16 (pengambilan pertama), Sesi Julai 2026, Tahun Akademik 2026/2027.
Program selama tiga hari itu berlangsung pada 14, 16, dan 18 Julai 2026 di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, di sini.
Seramai 894 pelajar baharu, terdiri daripada 405 pelajar lelaki dan 489 pelajar perempuan, menghadiri Minggu Orientasi bagi Sesi Julai 2026 tersebut.
Pelajar-pelajar akan menjalani pembelajaran di bawah 24 program Diploma Tahap 5 yang ditawarkan oleh lima buah sekolah, iaitu Sekolah Perdagangan (SBS), Sekolah Komunikasi dan Teknologi Maklumat (SICT), Sekolah Sains Kesihatan (SHS), Sekolah Sains dan Kejuruteraan (SSE), dan Sekolah Petrokimia (SPC).
Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi orientasi yang berlangsung pagi tadi ialah Pemangku Pengarah PB, Pengiran Dr. Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah PB antara lain mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya memasuki PB.
Pengiran Dr. Saiful Baharin juga mengambil kesempatan untuk mengumumkan pelaksanaan modul teras baharu, 'Green and Digital Literacy for Sustainability (GDLS)', yang akan diajar buat pertama kali kepada pelajar Pengambilan Ke-16, Sesi Julai 2026.
Modul ini merupakan sebahagian daripada usaha PB untuk memperkukuh literasi hijau dan digital ke arah pembangunan mampan.
Acara seterusnya diikuti dengan bacaan Lafaz Ikrar oleh pelajar baharu Pengambilan Ke-16, Sesi Julai 2026, Tahun Akademik 2026/2027, yang diketuai oleh Awang Abdul Muhamad Muzaffar bin Ahmad Saufi, pelajar Diploma Tahap 5 dalam Program Pengurusan Modal Insan, SBS, Politeknik Brunei.
Tujuan utama penganjuran Minggu Orientasi ini adalah untuk menyediakan pelajar-pelajar menghadapi pembelajaran dalam persekitaran baharu.
Minggu Orientasi pada tahun ini diisi dengan pelbagai taklimat, sesi perkongsian, aktiviti kepimpinan dan kerohanian, serta bengkel kerjasama.
Kesemua aktiviti berkenaan bertujuan untuk membantu para pelajar mengenali PB dengan lebih dekat, menyesuaikan diri dengan suasana baharu, memudahkan mereka berkenalan dengan rakan-rakan, serta memberikan gambaran tentang kehidupan sebagai pelajar di PB.