Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
KOTA KINABALU, SABAH, Rabu, 28 Oktober. - Seramai 27 pelajar dan alumni Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menyertai misi khidmat masyarakat UNISSA International Outreach : Peduli Ummah 2.0 di Sabah dari 18 hingga 22 Oktober 2026.
Rombongan yang diketuai oleh Penasihat Kumpulan Al-Qudwah UNISSA, Dr. Dayang Hajah Ummi Fa'izah binti Haji Abdul Rahman melaksanakan misi dengan kerjasama YOSH Club Universiti Malaysia Sabah, MyFundAction, Hidayah Centre dan MyCARE Sabah.
Sepanjang misi, antara aktiviti utama rombongan dalam tempoh tiga hari ialah menyantuni kanak-kanak dan golongan yang memerlukan di Pusat Alternatif An-Nur, Kampung Abab dan Kampung Suang Parai.
Aktiviti yang dijalankan merangkumi pengukuhan solat dan akhlak, pendidikan mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan, mengajar mengaji, pengindahan bilik darjah serta penanaman sebanyak 100 tanaman sayur.
Di samping itu, rombongan turut mengeratkan silaturahim dan menyantuni dengan golongan mualaf dan asnaf di Kampung Terunggis, Tuaran.
Sumbangan kewangan, pek makanan dan barangan keperluan asas diserahkan kepada 70 keluarga yang terdiri daripada golongan fakir miskin dan mualaf.
Rombongan turut menyampaikan pek makanan kepada ‘unsung heroes’ di sekitar bandar Kota Kinabalu sebagai penghargaan atas khidmat mereka kepada masyarakat.
Dana bagi menyokong pelaksanaan misi berkenaan dikumpulkan melalui Fundraising Event : Souq Al-Khair – UNISSA International Outreach Peduli Ummah 2.0, yang dianjurkan oleh Kumpulan Al-Qudwah Sesi 2025/2026 di Gimnasium UNISSA dari 28 September hingga 1 Oktober 2026.
Dana diperoleh melalui sewaan tapak vendor, jualan amal, jualan barangan terpakai hasil sumbangan orang ramai serta tabung sumbangan warga UNISSA. Sebanyak RM12,650 berjaya dikumpulkan hasil usaha berkenaan.
Maklum balas peserta turut memperlihatkan kesan bermakna misi berkenaan terhadap pembentukan diri mereka. Pengalaman menyantuni masyarakat menimbulkan rasa syukur dan tanggungjawab sosial, di samping mendorong kesediaan untuk menyumbangkan masa serta tenaga dalam aktiviti kebajikan pada masa akan datang.
Cabaran sepanjang program juga mengasah kemahiran penyelesaian masalah dan pemikiran kritis peserta. Kesungguhan kanak-kanak yang disantuni mengikuti pembelajaran pula memberi pengajaran bahawa kekurangan bukanlah penghalang untuk terus bersemangat menuntut ilmu.
Misi berkenaan turut menyumbang kepada usaha pengantarabangsaan UNISSA melalui pengukuhan jaringan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pertubuhan masyarakat di luar negara.
Penglibatan secara langsung dalam komuniti rentas sempadan memberi pendedahan kepada peserta untuk memahami kepelbagaian latar kehidupan, mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan serta membawa nilai ilmu, akhlak dan khidmat bakti UNISSA ke peringkat antarabangsa.
Pengalaman berkenaan juga mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam membentuk rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
Melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, peserta berpeluang membina daya tahan, kebolehan bekerjasama dan kepekaan terhadap keperluan masyarakat sebagai bekalan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Dari sudut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), aktiviti misi berkenaan berkait rapat dengan SDG 1 : Tiada Kemiskinan dan SDG 2 : Kelaparan Sifar melalui penyaluran bantuan serta penanaman sayur; SDG 3 : Kesihatan baik dan kesejahteraan melalui pendidikan kebersihan dan kesihatan; serta SDG 4: Pendidikan berkualiti melalui aktiviti pendidikan dan pengindahan ruang pembelajaran. Kerjasama antara UNISSA dengan rakan pelaksana turut mencerminkan semangat SDG 17 : Perkongsian demi matlamat.
Penganjuran Souq Al-Khair dan misi khidmat masyarakat di Sabah mencerminkan komitmen UNISSA dalam menyemai nilai kepedulian, kebersamaan dan tanggungjawab sosial.
Usaha berkenaan diharap dapat melahirkan generasi berilmu dan berakhlak yang mampu memimpin, memberi manfaat serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di dalam dan luar negara.