MMN adakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan Kebawah DYMM

17 Jul 2026 - 9:44am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Julai. - Majlis Mesyuarat Negara (MMN) petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun, yang berlangsung di Surau, Bangunan Dewan Majlis.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.

Turut hadir ialah Ahli-Ahli MMN yang dilantik, Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr. Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah, serta pegawai dan kakitangan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Khas Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun yang dipimpin oleh Imam Tingkat I, Awang Mohammad Farhan @ Awang Mohammad Ali bin Ali.

Majlis kemudian diteruskan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar secara berjemaah.

Penganjuran majlis tersebut merupakan tanda kesyukuran atas limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala terhadap kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Pada majlis berkenaan, para hadirin turut bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia sentiasa dilimpahkan rahmat, dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, usia yang diberkati serta kekal karar memerintah di atas singgahsana. Doa juga dipanjatkan semoga baginda serta seluruh kerabat diraja sentiasa dikurniakan taufiq, hidayah dan inayah daripada Allah Subhanahu Wata'ala.