MMN sebuah badan sentiasa mengutamakan kepentingan negara

11 Og 2026 - 9:44am

Oleh : Srinarawie Bidzah

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Persidangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan dan proses pentadbiran negara tetapi lebih penting lagi merupakan wadah bagi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) melaksanakan amanah untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan cadangan, memberikan penelitian terhadap dasar kerajaan serta menyampaikan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara.

Setiap pandangan yang dikemukakan sama ada berupa sokongan, cadangan mahupun teguran yang membina adalah berlandaskan matlamat yang sama, iaitu untuk melihat Negara Brunei Darussalam terus maju, makmur dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Perkara berkenaan disuarakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad Ali bin Tanjong, juga Ketua Kampung Lumapas 'B' dalam Perbahasan Usul pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Namun demikian, pada pandangan Yang Berhormat perkara yang lebih penting selepas persidangan ini bukanlah berapa banyak perkara yang telah kita bahaskan namun, apa yang lebih penting ialah apakah yang akan kita lakukan selepas kita meninggalkan dewan ini. Kerana rakyat bukan sahaja mahu mendengar perbahasan, rakyat mahu melihat hasil, rakyat mahu melihat jalan raya diperbaiki, rakyat mahu melihat masalah saliran diselesaikan, rakyat mahu melihat peluang pekerjaan diwujudkan, rakyat mahu melihat ekonomi tempatan berkembang dan stabil. Rakyat mahu melihat anak-anak muda mempunyai masa depan dan rakyat mahu melihat setiap dasar dan perancangan kerajaan benar-benar sampai kepada mereka.

Persidangan ini juga kata Yang Berhormat telah memperlihatkan pentingnya semangat saling menghormati dan menyampaikan pandangan. Walaupun terdapat perbezaan perspektif semuanya telah dibincangkan dalam suasana yang matang dan profesional. Budaya seperti inilah yang perlu terus dipelihara kerana ia mencerminkan kematangan institusi MMN sebagai sebuah badan yang sentiasa mengutamakan kepentingan negara mengatasi kepentingan lain.

"Pada masa yang sama, kaola berharap hubungan kerjasama antara Ahli-ahli MMN dengan kementerian-kementerian akan terus diperkukuhkan bukan sahaja kepada ketika persidangan berlangsung malah sepanjang tahun.

"Dengan adanya komunikasi yang berterusan, pelbagai isu yang dihadapi rakyat dapat dikenal pasti lebih awal dan ditangani secara lebih berkesan.

"Kaola berharap selepas persidangan ini, perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat tidak terhenti setakat jawapan di dalam dewan. Kaola juga ingin melihat perkara ini dari sudut diri kaola sendiri sebagai ketua kampung dan pemimpin di peringkat akar umbi.

"Bagi kaola, menjadi ketua kampung bukan sekadar menjalankan tugas pentadbiran, ia adalah satu amanah untuk mendengar menyampaikan suara rakyat dan kaola berada dekat dengan masyarakat, kaola mendengar masalah mereka, kaola melihat keperluan mereka, kaola berjumpa dengan warga emas, kaola berjumpa dengan golongan belia, kaola berjumpa dengan keluarga yang memerlukan bantuan dan kaola melihat sendiri potensi yang terdapat dalam kampung," kata Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata, apa yang diharapkan janganlah segala perbahasan kita tinggal sebagai catatan di dalam hansard, biarlah ia menjadi tindakan. Janganlah segala cadangan yang kita berhenti sebagai cadangan. Biarlah ia menjadi perlaksanaan dan janganlah suara rakyat hanya didengar ketika persidangan berlangsung, biarlah suara rakyat terus menjadi panduan kita selepas persidangan ini.

Kita mahu tambah Yang Berhormat lagi, pembangunan yang bukan sahaja nampak di bandar tapi dirasai di kampung. Kita mahu ekonomi yang bukan sahaja berkembang di peringkat negara tetapi memberi peluang kepada rakyat biasa dan kita mahu setiap titah dan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam diterjemahkan kepada hasil yang nyata untuk rakyat.

"Kaola juga inigin menegaskan bahawa sebagai pemimpin akar umbi, kaola akan terus melaksanakan tanggungjawab kaola sebaik mungkin. Menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan serta berusaha memastikan apa jua peluang pembangunan yang ada dapat dimanfaatkan oleh masyarakat kampung.

"Dalam kita mengharapkan kerajaan terus berusaha melaksanakan berbagai perancangan untuk kepentingan negara dan rakyat, kaola juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada seluruh rakyat agar sama-sama memberikan sokongan dan kerjasama kepada kerajaan.

"Kerajaan tidak mungkin dapat melaksanakan semua perancangan dengan sempurna tanpa sokongan dan kerjasama daripada lapisan rakyat. Kita sebagai rakyat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing, kalau ada kelemahan kita tegur dengan cara yang membina, kalau ada kekurangan kita cadangkan jalan penyelesaian dan kalau ada perancangan yang baik untuk kepentingan rakyat, marilah kita sama sama memberikan sokongan supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya," ujar Yang Berhormat lagi.