MTIC anjur Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan

17 Jul 2026 - 9:27am

Oleh : Nurdiyanah RajamiFoto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Pusat Kebangsaan E-Kerajaan  

BERAKAS, Khamis, 16 Julai. - Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, hari ini bertempat di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Majlis keagamaan ini dikelolakan oleh Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC).

Sehubungan itu, hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Turut hadir, Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua eksekutif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai serta kakitangan MTIC bersama jabatan-jabatan, autoriti dan pihak berkuasa di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Kesyukuran, diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Zuhur Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau LTAB, Awang Haji Mohammad Asyraf bin Haji Bujang.

Warga kementerian sukacita menzahirkan tanda rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, di samping merafakkan doa agar baginda sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, taufik, hidayah dan inayah serta kekal berada di bawah lindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala.

Doa turut dirafakkan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam serta seluruh kerabat diraja sentiasa dikurniakan kesejahteraan, keselamatan dan keberkatan.

Semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kekal karar memerintah di atas takhta singgahsana kerajaan serta terus memimpin Negara Brunei Darussalam dengan penuh hikmah, kedaulatan, keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan.