NBD mempengerusikan ASEAN-OSHNET pada 2027

15 Jul 2026 - 9:23am

Siaran Akhbar dan Foto : Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar

DA NANG, REPUBLIK SOSIALIS VIET NAM, Selasa, 14 Julai. - Negara Brunei Darussalam bakal memainkan peranan kepimpinan di peringkat serantau dalam mempertingkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) susulan penyertaannya sebagai Timbalan Pengerusi pada Mesyuarat Lembaga Penyelaras Rangkaian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ASEAN Ke-27 (ASEAN-OSHNET Coordinating Board Meeting - CBM-27), yang diadakan bersempena Persidangan ASEAN-OSHNET Ke-13 (ASEAN-OSHNET Conference - AOC-13) dari 7 hingga 9 Julai 2026.

Delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad.

Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN-OSHNET 2026-2030 serta meneroka peluang untuk mempererat kerjasama dengan organisasi - organisasi antarabangsa, bagi meningkatkan lagi piawaian dan amalan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di seluruh rantau ASEAN.

Pada tahun 2027, Negara Brunei Darussalam akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN-OSHNET serta menjadi tuan rumah kepada tiga acara utama peringkat serantau, iaitu Persidangan ASEAN-OSHNET Ke-14 (AOC-14), Mesyuarat Lembaga Penyelaras ASEAN-OSHNET Ke-28 (CBM-28), dan Anugerah ASEAN-OSHNET Ke-7.

Negara Brunei Darussalam juga akan berperanan sebagai Sekretariat ASEAN-OSHNET bagi tempoh 2027 hingga 2029, dengan menyokong penyelarasan dan pelaksanaan program serta inisiatif serantau dalam kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan organisasi-organisasi rakan kerjasama.

Pelantikan ini merupakan satu pencapaian penting bagi Negara Brunei Darussalam dan mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuhkan kerjasama serantau, menggalakkan perkongsian pengetahuan, serta meningkatkan usaha pembangunan kapasiti dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Melalui SHENA, Negara Brunei Darussalam akan terus bekerjasama rapat dengan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa dalam mempromosikan tempat kerja yang lebih selamat, sihat dan berdaya tahan di seluruh rantau ini.