NUQRA Hajj Tour : Pendedahan awal kepada pelajar mengenai ibadah haji

12 Jul 2026 - 9:54pm

Suasana majlis

Siaran Akhbar dan Foto : NUQRA Quranic Learning Centre

TUTONG, Sabtu, 11 Julai. - NUQRA Quranic Learning Centre (NUQRA) telah mengadakan program NUQRA Hajj Tour di Sekolah Rendah Kiudang, Tutong, sebagai usaha memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai ibadah haji melalui pendekatan pembelajaran secara praktikal, interaktif dan menyeronokkan.

Program simulasi haji berkenaan memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami perjalanan ibadah haji dengan lebih dekat berkaitan manasik haji. Sepanjang program, para pelajar telah dibimbing melalui penerangan, demonstrasi dan simulasi secara berperingkat.

Penggunaan replika serta bahan visual membantu pelajar memahami setiap aktiviti dengan lebih mudah, khususnya bagi mereka yang pertama kali didedahkan kepada proses pelaksanaan ibadah haji.

Program berkenaan bukan sahaja bertujuan untuk menyampaikan pengetahuan asas mengenai Rukun Islam kelima, malah turut menerapkan nilai-nilai seperti kesabaran, disiplin, kerjasama, kepatuhan dan rasa cinta terhadap ibadah.

Menurut pihak NUQRA, pendekatan pembelajaran berbentuk pengalaman seperti berkenaan dapat membantu kanak-kanak mengingati dan memahami sesuatu ilmu dengan lebih berkesan.

Pihak NUQRA turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran, guru-guru serta warga Sekolah Rendah Kiudang atas jemputan dan sambutan yang diberikan sepanjang program berlangsung.