Operasi Kakas kesan pelbagai kesalahan

11 Sep 2026 - 5:58am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 September. - Operasi Kakas terus giat dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran (JIPK) Kebangsaan bagi membendung pesalah-pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam (NBD). Dua operasi penguat kuasa undang-undang telah dilaksanakan yang mana menyasarkan kepada rumah-rumah sewa di Mukim Kota Batu dan Mukim Berakas ‘A’.

Operasi Kakas 97 / 2026 telah menyasarkan di rumah-rumah sewa di Mukim Kota Batu. Hasil operasi menyaksikan tujuh warga asing telah diperiksa dan seorang daripadanya telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Bandar Seri Begawan (BSB) bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh.

Sementara, Operasi Kakas 98 / 2026 menyasarkan di rumah sewa di Mukim Berakas ‘A’ di mana empat warga asing telah diperiksa yang kemudiannya ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, BSB bagi siasatan lanjut.

Kesemua warga asing berkenaan dipercayai melakukan tiga kesalahan iaitu di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17 kerana tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh, kesalahan di bawah Peraturan 15(2), Peraturan Imigresen, Penggal 17 kerana bekerja bukan dengan majikan asal dan kesalahan di bawah Peraturan 15(3), Peraturan Imigresen, Penggal 17 kerana bekerja tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

Bagi sebarang maklumat kesalahan di bawah JIPK, sila hubungi Talian Hotline Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang menerusi talian +673 8734888 / +673 8753888 (BSB) / +673 8984111 (Kuala Belait).