Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Mohammad Hasif Matzin, Hernie Suliana Haji Othman, Pg. Nur Hafilah Pg. Osman
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah pada Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun di Balai Singgahsana Indera Buana, Istana Nurul Iman, turut menyentuh mengenai pembangunan negara iaitu tentang beberapa kemajuan semasa serta cabaran yang turut mendepani kita.
Mengenai bekalan tenaga titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Alhamdulillah, negara masih sahaja dalam kedudukan yang baik walaupun tidak terkecuali daripada menerima kesan ketidaktentuan global.
Oleh itu, baginda bertitah menjelaskan bahawa keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan simpanan strategik, khususnya bahan api petroleum dan tong LPG, bagi memenuhi keperluan harian.
“Setentunya juga, pendekatan ini memerlukan tanggungjawab semua pihak, khasnya menerusi penggunaan sumber tenaga secara berhemah. Seiring itu, usaha mempelbagaikan ekonomi juga turut menunjukkan keberhasilan yang memberangsangkan. Sektor bukan minyak dan gas telah menyumbang kepada lebih separuh dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” titah baginda.
Dari sudut sosial, titah baginda lagi, kerajaan dan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) menerusi Projek Teduh telah memanfaatkan dana Zakat Perniagaan BIBD untuk membina kediaman bagi golongan rentan.
Baginda bertitah, kerjasama awam-swasta seumpama ini adalah sangat digalakkan dalam sama-sama berusaha meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan. Dari aspek memelihara keselamatan masyarakat pula, baginda bertitah telah memperkenankan Kerangka Kerja Dasar Strategik Pengurusan Bencana atau Disaster Management Startegic Policy Framework.
“Ini bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan bencana menerusi pengurusan risiko dan pendekatan bersepadu antara pelbagai agensi dalam menghadapi situasi kecemasan. Sungguhpun pencapaian dapat diraih, namun cabaran fiskal negara masih sahaja memerlukan perhatian berterusan,” tegas titah baginda.
Sehubungan itu, titah baginda, kerajaan akan terus melaksanakan langkah fiskal yang bertanggungjawab antaranya memperluas sumber pendapatan bukan minyak dan gas, mengurus perbelanjaan negara dengan berhemat serta memperkukuh pemudah cara perniagaan, di samping memastikan proses kerajaan adalah mesra pelaburan.
Dalam hubungan ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga melahirkan keyakinan akan peranan penting setiap Menteri Penyelaras untuk memastikan segala jurang dan halangan dapat ditangani dengan berkesan.
“InsyaaAllah, tahun 2027 akan menyaksikan dua acara kenegaraan yang saling melengkapi iaitu Sambutan Jubli Intan Pemerintahan beta dan juga Tahun Melawat Brunei. Marilah kita terus berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan terus melimpahkan rahmat-Nya untuk kita dan negara berkekalan dalam aman dan makmur. Amin Ya Rabbal Alamin,” titah baginda.
Mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, pasukan keselamatan serta sektor swasta di dalam dan luar negara atas sumbangan mereka kepada negara.
Baginda juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah atas usaha dan khidmat menjayakan perayaan ini.