Siaran Akhbar dan Foto : Pusat Promosi Kesihatan
BERAKAS, Jumaat, 11 September. - Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan hari ini mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Program Cara Hidup Sihat (PCHS) Kohort Ke-2 yang berlangsung di Atrium, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, di sini.
Program Cara Hidup Sihat Kohort Ke-2 telah berlangsung dari Januari 2025 hingga Jun 2026.
Program ini adalah satu program pengurusan berat badan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan melalui Pusat Promosi Kesihatan dan disokong oleh Gleneagles JPMC Sdn Bhd.
Matlamat utama program adalah untuk membantu peserta mencapai penurunan berat badan antara 5 hingga 10 peratus dalam tempoh 24 minggu. Selain itu, program ini mengaplikasikan pendekatan pelbagai disiplin yang merangkumi Preskripsi Senaman (Exercise Prescription) bersama Unit Perubatan Sukan dan Senaman; sokongan aspek kesihatan mental dan perubahan tingkah laku, serta pemakanan oleh ahli kesihatan bersekutu dari sektor swasta; sesi senaman berkumpulan oleh jurulatih kecergasan tempatan; dan pemantauan yang rapi serta berterusan sepanjang tempoh program.
Seramai 43 orang telah menyertai PCHS Kohort ke-2, dengan 84 peratus peserta berjaya melengkapkan program.
Daripada jumlah peserta yang mengikuti program ini, 44 peratus berjaya mencapai penurunan berat badan melebihi lima peratus, dengan penurunan berat badan maksimum sebanyak 22.5 kilogram, bersamaan 16.7 peratus.
Selain perubahan berat badan, program ini turut menunjukkan peningkatan dalam beberapa hasil kesihatan peserta. Sebanyak 50 peratus peserta menunjukkan peningkatan dalam tekanan darah (Blood Pressure - BP), 19 peratus menunjukkan peningkatan dalam paras glukosa darah puasa (Fasting Blood Glucose - FBG), manakala 47 peratus menunjukkan peningkatan dalam profil lipid.
Dari aspek kualiti hidup pula, 71 peratus peserta menunjukkan peningkatan dalam aspek Kesihatan Umum (General Health), Vitaliti (Vitality), Kesihatan Mental (Mental Health) dan Peranan Emosi (Role EmoMonal).
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dr Siti Rosemawati binti Haji Md Yussof.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus PCHS, Dr. Norhanani Nadzirah binti Haji Md Taib, Pegawai Perubatan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa program ini bukan sekadar tertumpu kepada penurunan berat badan, tetapi lebih kepada membina gaya hidup yang mampan dan menyokong kesihatan fizikal, mental dan emosi secara menyeluruh.
Bagi pemilihan pemenang, kriteria penilaian bukan hanya berdasarkan perubahan berat badan, tetapi turut dinilai berdasarkan gabungan beberapa hasil kesihatan, termasuk berat badan, paras glukosa darah puasa FBG, profil lipid dan BP, yang dinilai pada peringkat awal program (baseline), pertengahan intervensi dan pada akhir tempoh 24 minggu.
Majlis juga diserikan dengan tayangan video pendek yang memaparkan gambaran keseluruhan program serta pelbagai aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh pelaksanaannya, termasuk sesi-sesi senaman para peserta. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kohort ke-2.
Bagi Kategori Biggest Transformation Award lelaki, tempat pertama disandang oleh Muhammad Izzuddin Husain bin Haji Bakari dengan penurunan berat badan sebanyak 16.7 peratus, selain penurunan paras glukosa.
Tempat kedua pula disandang oleh Muhammad Fakhri Marzuqi bin Marsal dengan penurunan berat badan sebanyak 6.2 peratus, serta penurunan paras glukosa dan kesemua 4 parameter profil lipid.
Mohammad Khairil Shah bin Haji Abdul Halim di tempat ketiga dengan penurunan berat badan sebanyak 13.9 peratus, serta penurunan paras glukosa dan tiga daripada 4 parameter profil lipid.
Bagi Kategori Biggest Transformation Award wanita pula, Dayangku Nurul Mawaddah binti Pengiran Idris menduduki tempat pertama dengan penurunan berat badan sebanyak 12.1 peratus serta penurunan tekanan darah, paras glukosa dan profil lipid; Nor Aswin Sapar tempat kedua dengan penurunan berat badan sebanyak 9.8 peratus serta penurunan paras glukosa dan profil lipid; manakala Siti Molina binti Haji Abdul Manan tempat ketiga dengan penurunan berat badan sebanyak 8.1 peratus serta penurunan paras glukosa dan profil lipid.
Sementara itu, bagi Kategori Most Dedicated Participant Award, yang diberikan berdasarkan kehadiran tertinggi dalam sesi ceramah, bengkel dan sesi senaman, penerima-penerimanya ialah Siti Nurfaridah binti Suhardi, Hajah Nur Liyana binti Haji Japar dan Suharni binti Haji Suboh.
Ketiga-tiga penerima berkenaan masing-masing menghadiri 31 daripada keseluruhan 34 sesi yang diadakan.
Bagi Kategori Outstanding Exercise Attendance Award pula, anugerah berkenaan diberikan kepada Siti Wardah Syukri Yati binti Haji Abd Salim yang mencatat kehadiran tertinggi dalam sesi senaman dengan menghadiri 22 daripada 24 sesi.
Para pemenang Biggest Transformation Award bagi tempat pertama, kedua dan ketiga untuk kategori lelaki dan wanita masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak BND400, BND250 dan BND150, berserta sijil.
Manakala, para penerima Most Dedicated Participant Award dan Outstanding Exercise Attendance Award masing-masing menerima baucar petrol bernilai BND50 berserta sijil.
Program ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada antara Kementerian Kesihatan, Gleneagles JPMC Sdn Bhd, ahli kesihatan bersekutu dari sektor swasta dan jurulatih kecergasan, seterusnya memberi impak yang lebih positif dalam usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat.