Pelaksanaan dasar perlu diperkukuh dengan tindakan, akauntabiliti

13 Og 2026 - 5:58am

Oleh : Muhammad Aiman Najib Hamzah

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Azmah Haji Ahad

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Ogos. - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Yang Berhormat, Jurutulis serta pegawai dan kakitangan yang telah memberikan sokongan sepanjang berlangsungnya Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN.

Menyampaikan usul penangguhan pada persidangan berkenaan, baru-baru ini, Yang Berhormat menekankan bahawa MMN merupakan wadah penting dalam mempertemukan dasar-dasar kerajaan dengan realiti serta keperluan rakyat.

Menurut Yang Berhormat, walaupun soalan dan pandangan yang dikemukakan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat mungkin bersifat terus terang matlamatnya adalah sama iaitu membantu Kerajaan memberikan yang terbaik kepada rakyat.

Yang Berhormat berkata, sepanjang persidangan, antara perkara yang sering diketengahkan ialah keperluan rakyat terhadap kejelasan, tindakan susulan serta dasar yang benar-benar berkesan dalam pelaksanaannya.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa dasar yang baik akan memberikan impak yang lebih besar sekiranya dilaksanakan secara konsisten sehingga selesai, selain proses konsultasi perlu memberikan ruang yang bermakna supaya pandangan yang dikemukakan benar-benar dapat dipertimbangkan.

Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menyoroti pelaksanaan Peraturan Mesyuarat 20 pada Sabtu lalu apabila satu usul dipinda di dalam dewan hasil daripada perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat.

Menurut Yang Berhormat, perkara tersebut menjadi peringatan bahawa MMN bukan sekadar tempat untuk merekodkan pandangan, malah merupakan sebuah forum di mana pandangan yang dikemukakan boleh membantu membentuk sesuatu keputusan.

Sehubungan itu, Yang Berhormat berharap keterbukaan terhadap pandangan dan perbahasan sedemikian akan terus diperkukuhkan bukan sahaja di dalam dewan, malah turut diterapkan di luar dewan melalui penglibatan yang lebih erat antara Ahli-ahli Yang Berhormat, Menteri-menteri serta kementerian dan jabatan.

Yang Berhormat turut mengalu-alukan penglibatan Ahli-ahli Yang Berhormat Yang Dilantik dalam usaha mengemas kini rangka kerja Wawasan Brunei 2035.

Menurut Yang Berhormat lagi, pendekatan tersebut wajar diteruskan dan diperkukuhkan melalui konsultasi yang bermakna memandangkan Ahli-ahli Yang Berhormat Yang Dilantik membawa pelbagai perspektif daripada kalangan peniaga, pekerja dan masyarakat yang boleh menyumbang kepada proses penggubalan dasar.

Menyentuh mengenai mandat Menteri-menteri Penyelaras dalam menangani isu-isu yang merentasi kementerian dan agensi, Yang Berhormat berkata cabaran sebenar adalah memastikan mandat tersebut dapat diterjemahkan dengan berkesan dalam pelaksanaannya.

Tekan Yang Berhormat, pentingnya kejelasan mengenai tanggungjawab, pihak yang memacu tindakan susulan serta mekanisme untuk memastikan sesuatu isu yang melibatkan pelbagai agensi dapat dibawa sehingga mencapai penyelesaian.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat turut menekankan kepentingan pelaksanaan dan akauntabiliti dalam merealisasikan sasaran yang telah ditetapkan di bawah rangka kerja Wawasan Brunei 2035 yang dikemas kini.

Yang Berhormat mengalu-alukan rangka kerja tersebut yang menggariskan keutamaan nasional, hasil dan petunjuk prestasi utama (KPI), termasuk hasrat untuk melaporkan kemajuan setiap tahun melalui Indeks Wawasan Brunei.

Menurut Yang Berhormat, hala tuju dan ukuran pencapaian kini semakin jelas, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan pelaksanaan dan akauntabiliti dapat menjamin sasaran yang telah ditetapkan benar-benar dicapai.

Dengan adanya KPI dan garis masa yang jelas, Yang Berhormat berharap kemajuan yang dicapai akan dapat dilihat melalui tindakan yang nyata serta pelaksanaan projek dan inisiatif sehingga selesai.

“Rangka kerjanya kini semakin jelas. Langkah seterusnya ialah memastikan kemajuan dapat dilihat, diukur dan dikekalkan,” ujar Yang Berhormat. Yang Berhormat seterusnya berharap pada masa akan datang, MMN tidak lagi membincangkan cabaran yang sama dalam keadaan yang tidak banyak berubah.

Sebaliknya, Yang Berhormat berharap dapat melihat pembaharuan yang telah dilaksanakan, projek yang telah diselesaikan, halangan yang telah diatasi serta hasil yang semakin baik.

Dalam menyentuh aspek kerjasama, Yang Berhormat menggunakan kejohanan Piala Dunia FIFA sebagai perumpamaan bahawa kejayaan sesebuah pasukan tidak boleh bergantung kepada seorang pemain sahaja. Beliau menegaskan bahawa kementerian-kementerian bukan pasukan yang bersaing antara satu sama lain, manakala sektor awam dan sektor swasta juga bukan berada di pihak yang bertentangan.

Dengan barisan Menteri-menteri Kabinet yang baharu, Yang Berhormat melihat adanya peluang untuk semua pihak bergerak bersama dan mempercepatkan kemajuan negara.

Namun demikian, menurut Yang Berhormat, kerjasama turut memerlukan hubungan yang baik antara satu sama lain, selaras dengan usaha untuk memperkukuh sinergi dan kerjasama di antara pelbagai pihak.

Dalam nada bersahaja, Yang Berhormat turut mengusulkan agar satu sesi Pickleball diadakan selepas persidangan sebagai salah satu usaha untuk mengeratkan hubungan dan mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Yang Berhormat berkata, sekiranya semua pihak menggalakkan masyarakat supaya bekerjasama, mereka sendiri juga perlu menunjukkan contoh atau ‘lead by example’ dalam membina hubungan dan kerjasama yang lebih erat.

Mengakhiri ucapannya, Yang Berhormat menyeru agar semua pihak memberikan sokongan kepada Menteri-menteri Kabinet dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan serta bersama-sama menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.