Oleh : Aimi Sani
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 28 September. - Majlis Pelancaran Pameran Seni Uciran: Kenangan Dalam Warna (Memories in Colour) anjuran Creative Space dan disokong oleh Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah diadakan di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran pameran ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh wakil Pelukis Uciran Calak Brunei, Dato Paduka Awang Haji Haini bin Haji Hashim sebelum disusuli dengan penyempurnaan pelancaran pameran oleh tetamu kehormat majlis.
Sejurus selepas pelancaran, majlis diserikan dengan persembahan deklamasi sajak dan demonstrasi melukis daripada para pelukis. Majlis diakhiri dengan lawatan ke Pameran Seni Uciran : Kenangan dalam Warna (Memories in Colour).
Sebanyak 35 buah lukisan dipamerkan dalam pameran berkenaan, yang merupakan himpunan karya daripada 10 pelukis tempatan terdiri daripada Adi Zain, Awang Sitai, Dato Haini Hashim, Dato Shofry Ghafor, Malek Metarsat, Md Abidin Rashid, Osman Mohammad, Pengiran Timbang, Pengiran Wahab Hassan dan Zakaria Hamid.
Pameran ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelukis tempatan untuk mengetengahkan bakat dan karya mereka, di samping meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap seni visual, khususnya seni abstrak dan seni kontemporari di Negara Brunei Darussalam.
Pameran dibuka bagi kunjungan orang ramai bermula pada Isnin, 28 September hingga Ahad, 11 Oktober 2026, pukul 8.30 pagi hingga 4.15 petang (Isnin – Khamis dan Sabtu) dan pukul 9.00 pagi – 12.00 tengah hari (Ahad) di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, Bandar Seri Begawan.
Majlis turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, ketua-ketua jabatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, para pegawai dan kakitangan daripada sektor kerajaan dan swasta, Ahli-ahli Creative Space selaku penganjur dan rakan strategik, para penggiat seni lukisan, ahli akademik dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.