Pelihara akidah, sentiasa beriman kepada Allah

12 Sep 2026 - 1:22am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 11 September. - Kepentingan menjaga akidah bagi masyarakat Islam adalah suatu perkara yang utama, iaitu dengan mengikuti dan mematuhi segala ajaran yang disampaikan oleh Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Perjuangan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam menegakkan akidah yang benar, iaitu beriman kepada Allah Yang Maha Esa, telah melalui pelbagai halangan dan rintangan.

Namun, berbekalkan iman, takwa, kesabaran serta keyakinan yang teguh, agama Islam akhirnya berkembang dan terus tersebar sehingga ke hari ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga dan memelihara akidah agar sentiasa berada di landasan yang benar. Ingatlah bahawa apabila akidah terpesong atau menyimpang daripada pegangan yang sebenar, seseorang itu boleh terdedah kepada azab Allah Subhanahu Wata‘ala yang amat pedih.

Justeru, kita hendaklah sentiasa kembali kepada Allah dengan taubat yang sebenar-benarnya, iaitu taubat nasuha.

Perkara tersebut antara perkara yang disampaikan melalui Tazkirah Subuh bertajuk ‘Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Suluh Akidah’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Penolong Ketua Bahagian Pengembangan Da’wah (Pengislaman) Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, bagi menyerikan Program ‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ yang diadakan awal pagi tadi di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.

Program dimulakan dengan Sembahyang Fardu Subuh berjemaah, diikuti bacaan Wirid serta Tazkirah Subuh.

Program 'Masjidku Makmur, Negara Berkat' diungkayahkan dengan tujuan untuk mengajak umat Islam di negara ini agar memakmurkan masjid melalui amalan beribadah secara berjemaah, pengajian ilmu dan pelaksanaan aktiviti keagamaan.

Di samping membentuk masyarakat yang berdisiplin, bertanggungjawab serta saling menghormati, program ini juga berperanan menanam rasa cinta terhadap masjid sebagai rumah Allah.

Selain itu, untuk memupuk semangat Negara Zikir dan Negara Berkat melalui penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara berasaskan nilai-nilai Islam.