Oleh : Srinarawie Bidzah
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Ogos. – Dengan adanya dua sesi persidangan setiap tahun, dewan kini berpeluang membahaskan isu-isu strategik dan dasar negara selain Belanjawan Tahunan negara.
Ini mencerminkan satu lagi mercu tanda kematangan institusi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) serta meningkatkan minat rakyat untuk mengikuti terus perbahasan di dalam dewan. Melalui pengalaman peribadi sendiri, dua sesi setakat ini membuktikan ahli-ahli mampu menyediakan perbahasan yang berkualiti, namun perbahasan akan lebih substantif dan jauh lebih berkesan disokong dengan ‘in-depth research’ dan fakta, insyaaAllah.
Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin berkata demikian dalam Perbahasan Usul pada hari kelima Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat juga merafakkan sembah menjunjung kasih ke atas kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melantik Menteri-menteri Penyelaras sebagai satu langkah strategik yang amat tepat pada masanya untuk penyelarasan, memperkukuhkan dan mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Brunei 2035 ke arah mencapai pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat yang kita harapkan.
"Kaola tidaklah bertujuan untuk mengulangi lagi pandangan kaola semasa sesi perbahasan penyelarasan Wawasan Brunei 2035, selain untuk memberi sokongan dan mendoakan kejayaan. Negara tidak kekurangan pelan, dasar, ‘blueprint’ mahupun KPI dan tidak kurang orang bijak pandai.
"Kini tiba masanya untuk ‘work the plans and make the plans work’. Kerana fasa yang kita hadapi hari ini bukan lagi fasa ‘planning’ tetapi fasa ‘implementation dan delivery’," kata Yang Berhormat.
Penyelarasan itu sendiri tambah Yang Berhormat, bukanlah matlamat akhir. ‘Deliverables’ yang kita ingin sama-sama capai ialah kecepatan membuat keputusan, memperkukuh akauntabiliti, meningkatkan kerjasama merentas kementerian serta memastikan setiap usaha benar-benar menyumbang kepada ‘national outcomes’ bersepadu dan dapat dinilai pencapaiannya, dilihat kesannya dan dirasai oleh rakyat.
Antara perkara yang menjadi keluhan rakyat terutama golongan belia kata Yang Berhormat ialah mengenai masa depan yang bergantung kepada pekerjaan mereka. Justeru, rakyat menghargai kenyataan Yang Berhormat Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri untuk menyelaraskan lebih erat lagi agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor industri, agensi sosial dan masyarakat, menggunakan data serta analisis pasaran buruh supaya setiap intervensi benar-benar menepati keperluan semasa dan masa hadapan.
Malah tambah Yang Berhormat lagi, pemindahan JobCentre Brunei dan Manpower Planning Office serta penjenamaan semula Jabatan Buruh merupakan tanda positif untuk menangani isu pengangguran.
"Rakyat, khususnya golongan belia, graduan serta pencari kerja amat menaruh harapan dan berdoa agar usaha ini akan dipantau sehingga kejayaannya dan hasrat mereka untuk menyumbang bakti kepada indung dan negara tercapai dalam waktu terdekat, insyaaAllah. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin," ujar Yang Berhormat lagi.