Pembaikan pengurusan zakat untuk kemaslahatan umum

25 Og 2026 - 10:39am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Muhammad Asri Awang Haji Abas

BERAKAS, Isnin, 24 Ogos. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menzahirkan kebimbangan terhadap kelemahan pengurusan zakat, termasuk isu urus tadbir kewangan dan pentadbiran, serta dakwaan salah laku yang menjurus kepada pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah perkara tersebut semasa berkenan mengadakan Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

“Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana untuk sekian kalinya dapat pula mengadakan lawatan dan perjumpaan dengan para pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam pengurusan dana zakat.

“Kali ini beta sengaja mengundang Ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) sebagai badan berkanun yang bertanggungjawab secara langsung mentadbir dan mengurus hal ehwal zakat, wakaf dan baitulmal di negara ini.

“Beta telah pun memperkenankan penubuhan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), sebagai satu jabatan penuh di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dengan harapan JUZWAB akan lebih fokus kepada pengendalian dan pengurusan pemohon-pemohon zakat,” titah baginda.

Baginda bertitah melahirkan rasa dukacita kerana masih menerima aduan berhubungan kepincangan pengurusan zakat. “Beta sangat mengambil berat isu-isu yang disuarakan dalam surat-surat aduan dan laporan-laporan audit yang beta terima,” titah baginda lagi.

Menurut baginda, selaku ulil Amri, baginda telah pun berkali-kali menegur memperingatkan dan menyarankan bagi pembaikan dan peningkatan pengurusan zakat di negara ini yang wajibnya dilakukan untuk kemaslahatan umum pengagihan zakat.

“Tetapi malangnya semua nasihat, teguran, peringatan dan saranan beta kurang diambil perhatian umpama mencurah air ke daun keladi,” tegas titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut menyentuh isu urus tadbir kewangan dan pentadbiran zakat yang lemah yang mana sepatutnya sudah lebih awal ditangani oleh MUIB dan KHEU.

“Apa yang lebih mengejutkan, selain isu pengabaian urus tadbir, juga wujud ialah isu salah laku warga kerja JUZWAB yang menjurus kepada perbuatan jenayah iaitu pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Jika ini dibiarkan, tentu akibatnya akan lebih buruk.

“Wang kutipan fidyah didapati disimpan dalam laci pejabat tanpa resit dan penyata atau akaun bank serta buku resit zakat harta juga tidak kelihatan di pejabat secara fizikal. Buku resit zakat harta bernombor siri ‘duplicate’ dan sebahagiannya dicetak di kedai komersial tanpa kawalan,” titah baginda.

Dalam hubungan ini, baginda bertitah mempersoalkan mengapa perkara seperti ini boleh dibiarkan berlaku sekian lama.

Isu gagal mengawal kewangan juga menurut titah baginda, sangat ketara sehingga penyata-penyata akaun kumpulan wang zakat tidak teratur sejak tahun 2013 hingga 2020. Ini tegas baginda juga menunjukkan kegagalan dalam mengawasi hal ehwal zakat yang mungkin tidak ditunduki selama ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mempersoalkan sama ada pihak MUIB dan KHEU mengetahui atau menyedari perkara ini, dan adakah perkara berkenaan dibawa ke dalam Mesyuarat MUIB.