Pemilihan barisan kepimpinan baharu BCFA

17 Okt 2026 - 5:51am

Siaran Akhbar : Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Persahabatan Brunei-China Ke-7

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 16 Oktober. - Penggal Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Persahabatan Brunei-China Ke-7 (7th Executive Committee of the Brunei-China Friendship Association - BCFA) akan berakhir pada 31 Disember 2026.

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif yang diadakan pada 10 Mac 2026 lalu, sebuah Jawatankuasa Pemilihan telah ditubuhkan bagi mengendalikan dan menyelia proses pemilihan jawatankuasa baharu.

Jawatankuasa Pemilihan berkenaan telah dipengerusikan oleh Lim Boon Hwa, dengan keanggotaan seperti berikut, iaitu Lim Boon Hwa (ketua), Awang Haji Ghazali bin Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Awang Haji Mohd. Jamil Al-Sufri, Lim Ting Chai, Koh Kok Pang, dan Kwa Boon Wee.

Notis pencalonan, peraturan dan syarat pencalonan, borang pencalonan serta senarai nama pencalonan telah diedarkan kepada semua ahli pada 24 September 2026. Tarikh tutup pencalonan ditetapkan pada 16 Oktober 2026, pukul 4.00 petang.

Selepas tempoh pencalonan ditutup, Jawatankuasa Pemilihan telah mengadakan mesyuarat bagi meneliti pencalonan yang diterima.

Sebanyak 10 borang pencalonan telah diterima, yang menyaksikan seramai 15 ahli berjaya dicalonkan bagi membentuk Jawatankuasa Eksekutif baharu.

Selaras dengan Chapter 10 of the Constitution, memandangkan jumlah 15 calon yang dicalonkan adalah sama dengan jumlah ahli Jawatankuasa Eksekutif yang perlu dipilih, kesemua calon berkenaan secara automatik akan menjadi ahli Jawatankuasa Eksekutif yang baharu.

Jawatankuasa Pemilihan telah menetapkan satu mesyuarat pada Ahad, 18 Oktober 2026, pukul 10.00 pagi, bertempat di 1st Floor, BCFA Office, Sunway Centre, bagi membolehkan 15 ahli Jawatankuasa Eksekutif yang baharu dilantik memilih empat orang ahli jawatankuasa tambahan.

Pada pukul 11.00 pagi, selepas pelantikan empat ahli jawatankuasa tambahan berkenaan, kesemua 19 ahli Jawatankuasa Eksekutif yang baharu akan memilih presiden, timbalan presiden dan naib-naib presiden persatuan.