Siaran Akhbar dan Infografik : SMARTER Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 16 Julai. - Persatuan SMARTER Brunei membuka pendaftaran bagi Run4Autism 2026, sebuah acara larian amal yang dianjurkan untuk mengumpul dana bagi menyokong pembangunan perkhidmatan autisme di Negara Brunei Darussalam.
Acara berkenaan bertujuan menghimpunkan penyertaan daripada individu, keluarga, organisasi serta pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai autisme, menggalakkan amalan inklusif, di samping memberikan sokongan bermakna kepada individu autisme dan keluarga mereka.
Melalui penganjuran Run4Autism 2026, SMARTER Brunei berharap lebih ramai anggota masyarakat tampil memainkan peranan dalam memperkukuhkan sokongan terhadap komuniti autisme serta membantu memperluaskan penyediaan perkhidmatan berkaitan pada masa hadapan.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai acara tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni berkenaan. Maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan acara boleh diperoleh dengan menghubungi SMARTER Brunei di talian +673 7172991.