Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Jabatan Belia dan Sukan
JERUDONG, Ahad, 20 September. - Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBS) telah melaksanakan Majlis Penyampaian Sijil Peringkat Separuh Akhir Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan (MTQBK) 1448 Hijrah / 2026 Masihi bertempat di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, petang tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.
Peringkat separuh akhir yang diadakan sebelum majlis penyampaian sijil tersebut telah menyaksikan seramai 15 peserta qari dan 15 peserta qariah memperdengarkan bacaan masing-masing.
Mereka merupakan peserta yang terpilih melalui peringkat saringan yang telah diadakan pada 9 hingga 12 September 2026 yang lalu disertai oleh 107 peserta iaitu 66 qari dan 41 qariah.
Majlis turut diisikan dengan pengumuman keputusan musabaqah oleh Pengerusi Jawatankuasa Jemaah Hakim Peringkat Separuh Akhir, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof.
Peringkat Akhir MTQBK 1448 Hijrah / 2026 Masihi dijadualkan berlangsung pada hari Khamis, 1 Oktober 2026, bertempat di Dewan Digadong, Bangunan KKBS.
Seramai 10 peserta iaitu lima qari dan lima qariah termasuk Johan Menunggu Qari dan Qariah MTQBK Tahun 2025 akan bertanding di peringkat akhir nanti.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan ucapan daripada Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, selaku Pengerusi Majlis dan diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta musabaqah peringkat separuh akhir yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.
Manakala doa penutup dibacakan oleh Awang Muhammad ‘Arief Zuhairi Chia bin Abdullah Syihab.
Turut hadir pada tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Awang Haswandi bin Haji Osman; pegawai dan kakitangan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya serta ibu bapa.
MTQBK merupakan salah satu projek tahunan KKBS dikelolakan oleh JBS sejak tahun 1980-an dan telah berjaya melahirkan banyak qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum.
Orang ramai terutamanya para belia boleh menyaksikan MTQBK 1448 Hijrah / 2026 Masihi bagi peringkat akhir nanti secara langsung melalui akaun rasmi Instagram JBS di @jbs.brunei.