Penduduk Kampung Merangking adakan aktiviti gotong-royong

10 Okt 2026 - 7:09am

Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Merangking

BELAIT, Jumaat, 9 Oktober. - Satu aktiviti perjumpaan dan gotong-royong diadakan di Balai Ibadat Kampung Merangking sebagai persiapan bagi menyambut kunjungan rombongan dari Sekolah Ugama Lambak Jalan Bedil bersama pihak Pusat Da’wah Islamiah pada Ahad, 11 Oktober 2026.

Aktiviti berkenaan bertujuan memastikan persiapan bagi menerima kunjungan tersebut berjalan lancar, di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung dan pihak yang terlibat.

Pelbagai aktiviti dirancang sempena kunjungan berkenaan, antaranya memasak ayam dalam buluh, menyediakan kelupis kampung dan memasak umbut luba. Selain itu, bengkel keagamaan turut diadakan sebagai salah satu pengisian program.

Hadir sama dalam aktiviti gotong-royong tersebut ialah Ketua Kampung Merangking, Pemangku Imam Balai Ibadat Kampung Merangking, guru Kelas Bimbingan Mualaf, Ahli Takmir Balai Ibadat Kampung Merangking, serta golongan belia dan penduduk kampung.

Kerjasama yang diberikan mencerminkan semangat perpaduan dan sikap bergotong-royong dalam kalangan penduduk kampung bagi menjayakan program yang dirancang, di samping memupuk hubungan mesra melalui aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan.