Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman
JERUDONG, Jumaat, 9 Oktober. - Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) mengadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam yang Ke-80, Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, sebagai tanda kesyukuran serta menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha terhadap perkembangan profesion kejururawatan dan perbidanan di negara ini.
Majlis yang berlangsung di Golden Village Hotel, Jerudong berkenaan bagi meraikan lebih kurang 80 peserta yang berjaya menyempurnakan bacaan 30 juzuk kitab suci Al-Quran.
Acara dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab Surah Al-Fatihah, kemudian bacaan Surah Ad-Dhuha hingga Surah Al-Masad oleh para peserta Khatam Al-Quran yang terdiri daripada ahli-ahli PENJURU dipimpin oleh Awang Ahmad Khairul bin Haji Abdullah yang juga memimpin Doa Khatam Al-Quran.
Sementara Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Haji Nipah@Arifin bin Haji Hassan.
Terdahulu, dalam ucapan alu-aluannya, Yang Dipertua PENJURU, Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang hadir bagi sama-sama menjayakan majlis yang penuh keberkatan berkenaan.
Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah juga menzahirkan rasa syukur kerana PENJURU dikurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri sebagai penaung persatuan berkenaan, yang sentiasa mengambil berat akan perkembangan dan kebajikan ahli-ahlinya.
Menurutnya lagi, keprihatinan serta sokongan berterusan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri menjadi sumber inspirasi kepada seluruh ahli dan warga PENJURU dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
"PENJURU sentiasa merafak sembah dan setinggi-tinggi menjunjung kasih atas keprihatinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri terhadap perkembangan profesion kejururawatan dan perbidanan supaya dapat meningkatkan lagi pemberian perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat," jelasnya.
Yang Dipertua PENJURU turut menegaskan bahawa PENJURU, selaku badan profesional yang mewakili bidang kejururawatan, perbidanan dan petugas kesihatan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Brunei, mempunyai peranan penting dalam mendukung matlamat Kementerian Kesihatan ke arah penyampaian perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh ahli PENJURU akan terus memberikan komitmen dan menjalankan amanah dengan penuh dedikasi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu perkhidmatan kesihatan negara.
Sebelum mengakhiri ucapan, Datin Paduka Dayang Hajah Suraya Noraidah berkata bagi pihak PENJURU sekali lagi mengucapkan penghargaan kepada semua yang hadir serta mengajak seluruh ahli untuk terus mendoakan kesejahteraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri.
"Semua ahli PENJURU akan mendoakan semoga Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri akan sentiasa sihat, dilanjutkan usia dan bahagia di samping kerabat baginda yang tersayang. Amin…," ujarnya lagi.
Majlis berkenaan mencerminkan rasa syukur dan kasih rakyat terhadap Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri, di samping menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan, kesetiaan serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kalangan ahli PENJURU.
Semoga penganjuran majlis berkenaan mendapat keberkatan dan keredaan Allah Subhanahu Wata'ala serta menjadi amal ibadah yang mempererat hubungan antara persatuan dan institusi diraja, di samping menyemai semangat taat setia kepada raja dan negara.