Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 23 Oktober. - Jabatan Tenaga, Huluan dan Hiliran di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) dan Kementerian Kewangan ingin merujuk kepada pengumuman semasa Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22, Majlis Mesyuarat Negara, serta siaran akhbar yang dikeluarkan pada 17 Mac 2026 mengenai pengemaskinian struktur tarif elektrik bagi sektor komersial daripada bersifat 'regresif' kepada 'progresif', dan seterusnya memberikan maklumat lanjut mengenai struktur tarif baharu berkenaan serta pelaksanaannya.
Tarif elektrik yang sebelum ini dikenali sebagai 'Tarif B: Sektor Komersial' kini dinamakan semula sebagai 'Tarif B: Sektor Bukan Perumahan', dengan struktur tarif progresif dan kadar baharu.
Tempoh peralihan selama 18 bulan akan diberikan sebelum kadar tarif baharu mula berkuat kuasa pada April 2028 bagi pengguna yang berdaftar di bawah Tarif 'B'. Tempoh peralihan ini bertujuan memberikan masa yang mencukupi kepada pengguna yang terlibat untuk meneliti corak penggunaan elektrik masing-masing serta membuat persediaan yang diperlukan sebelum pelaksanaan tarif baharu.
Pengemaskinian struktur tarif ini hanya melibatkan sektor bukan perumahan dan tidak akan menjejaskan kadar tarif elektrik yang sedia ada bagi sektor perumahan. Struktur tarif elektrik bagi sektor perumahan, yang telah dikemaskinikan kepada struktur progresif pada tahun 2012, adalah kekal tidak berubah.
Kadar tarif elektrik baharu adalah seperti berikut: Penggunaan Tenaga (kWh) 0001 kWh hingga 1500 kWh adalah BND0.08; 1500 kWh hingga 4500 kWh adalah BND0.12; 4500 kWh hingga 15000 kWh adalah BND0.15; 15 MWh hingga 7200 MWh adalah BND0.21; 7200 MWh hingga 21600 MWh adalah BND0.23; dan 21600 MWh ke atas adalah BND0.25.
Di bawah struktur baharu ini, kadar tarif elektrik akan ditentukan berdasarkan jumlah penggunaan elektrik sebenar. Melalui struktur tarif progresif, kadar yang lebih rendah akan dikenakan bagi penggunaan sehingga 1,500 kWh, manakala penggunaan yang melebihi paras tersebut akan dikenakan kadar yang lebih tinggi mengikut blok penggunaan yang ditetapkan.
Bagi pengguna yang menerima bekalan elektrik pada voltan tinggi melebihi 11 kV, caj kapasiti sebanyak BND10 bagi setiap kW juga akan dikenakan. Pengemaskinian ini adalah bertujuan untuk menyokong struktur tarif elektrik yang lebih mampan, di samping menggalakkan penggunaan tenaga elektrik yang lebih berhemah dan cekap, serta membantu para pengguna memahami dan mengurus penggunaan elektrik dengan lebih berkesan, serta mengelakkan penggunaan tenaga yang tidak diperlukan.
Sepanjang tempoh peralihan ini, pihak perniagaan adalah digalakkan untuk mempertimbangkan langkah-langkah Kecekapan dan Penjimatan Tenaga (EEC) serta penggunaan Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), termasuk sistem Solar Fotovoltaik (PV), sebagai usaha untuk mengurus penggunaan elektrik.
Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga telah memperkenalkan beberapa langkah bagi menyokong penggunaan Solar PV, termasuk tidak mengenakan duti ke atas panel solar sejak 2012 bagi membantu mengurangkan kos awal pemasangan.
Selain itu, Program Net-Metering juga telah diperkenalkan sejak tahun 2021 yang membolehkan lebihan tenaga elektrik yang dijana daripada sistem Solar PV yang memenuhi syarat disalurkan semula ke grid elektrik negara sebagai pertukaran kepada kredit tenaga.
Jabatan Tenaga, Huluan dan Huluran di JPM dengan kerjasama KEPI, Kementerian Kewangan serta pihak-pihak berkepentingan telah menubuhkan Pasukan Petugas Pemantauan dan Penelitian (Monitoring and Review Task Force) bagi memantau proses peralihan dan pelaksanaan struktur tarif yang dikemaskini.
Pasukan Petugas ini juga akan mengadakan beberapa sesi muzakarah secara berperingkat bersama pihak-pihak berkepentingan termasuk sektor perniagaan, komersial dan industri.
Sesi-sesi ini bertujuan untuk memberikan penerangan dengan lebih jelas mengenai struktur tarif yang telah dikemaskini di samping menyediakan ruang kepada pihak berkepentingan untuk mengemukakan maklum balas berhubung pelaksanaan serta pengaturan sepanjang tempoh peralihan.
Jadual sesi-sesi muzakarah bersama pihak-pihak berkepentingan adalah seperti berikut:
Selasa, 3 November 2026 diadakan di Dewan Teater, Bangunan JPM; Khamis, 5 November 2026 diadakan di Mini Theatre, SPARK Centre Building, Sungai Liang; Selasa, 10 November 2026 diadakan di Main Auditorium, Bangunan D&T, Anggerek Desa; Khamis, 12 November 2026 di Mini Theatre SPARK Centre Building, Sungai Liang; Selasa, 17 November 2026 di Dewan Teater, Kementerian Kewangan; Khamis, 19 November 2026 di Main Auditorium, Bangunan D&T, Anggerek Desa dan Selasa, 1 Disember 2026 di Dewan Teater, Kementerian Kewangan.
Penyertaan adalah melalui jemputan sahaja. Jadual, termasuk tarikh dan tempat adalah tertakluk kepada perubahan.
Maklumat lanjut mengenai pengemaskinian struktur tarif ini boleh didapati melalui laman sesawang rasmi www.des.gov.bn dan akaun Instagram rasmi @desbrunei Jabatan Perkhidmatan Elektrik.
Bagi sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut, Pasukan Petugas Pemantauan dan Penelitian boleh dihubungi melalui talian WhatsApp, +673 7400515 atau e-mel tariffb@jpm.gov.bn.