Pengisytiharan kawasan ruang udara terhad

15 Jul 2026 - 10:43am

Siaran Akhbar : Jabatan Penerbangan Awam

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 14 Julai. - Jabatan Penerbangan Awam ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagai langkah-langkah sekuriti dan keselamatan tambahan, kawasan dalam lingkungan tiga batu nautika (5.56 kilometer - km) radius dari lokasi yang disenaraikan berikut adalah diisytiharkan sebagai kawasan ruang udara terhad pada 15, 19, 22, 29 Julai 2026 serta 1 dan 4 Ogos 2026.

Di Daerah Brunei and Muara, kawasan berkenaan ialah Taman Haji Sir Muda Omar  'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 15 Julai 2026; Padang Polo 1 hingga Pantai Restaurant, The Empire Brunei pada 19 Julai 2026; dan Taman Haji Sir Muda Omar  'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan pada 29 Julai 2026.

Sementara Daerah Tutong bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Pekan Tutong pada 22 Julai 2026; manakala Daerah Belait bertempat di Padang Bandaran, Jalan Sultan, Kuala Belait pada 1 Ogos 2026; dan Daerah Temburong bertempat di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar pada 4 Ogos 2026.

Di bawah pengisytiharan berkenaan, pesawat-pesawat termasuk dron (pesawat udara kawalan jauh) tidak dibenarkan beroperasi di ruang udara berkenaan kecuali yang mendapat keizinan.

Kegagalan untuk mematuhi peraturan berkenaan dianggap sebagai pelanggaran undang-undang dan peraturan Negara Brunei Darussalam, di bawah Seksyen 50 Perintah Penerbangan Awam, (CAP 290).

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh berhubung terus dengan Ketua Bahagian Regulatori, Jabatan Penerbangan Awam, di talian +673 2330142 sambungan 1455 atau e-mel unmanned.aircraft@dca.gov.bn.

Jabatan Penerbangan Awam mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama dan mematuhi pengisytiharan berkenaan.