Oleh : Pg: Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
TEMBURONG, Ahad, 11 Oktober. - Majlis Pengundian dan Pemilihan bagi Mengisikan Jawatan Penghulu Mukim Zon 2, Daerah Temburong berlangsung di tiga lokasi berasingan, iaitu Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok; Balai Raya Kampung Sibut, Mukim Amo; dan Dewan Bekas Sekolah Rendah Semabat, Kampung Semabat, Mukim Bokok, hari ini.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau; Pemangku Penolong Pegawai Daerah; pegawai-pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; serta ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung.
Daripada keseluruhan 374 undi yang diterima, seramai 348 pengundi bersetuju dengan calon tunggal yang dikemukakan, manakala 22 undi tidak bersetuju dan empat undi dikategorikan sebagai undi rosak.
Calon tunggal berkenaan ialah Awang Mohamad Zulkarnain bin Haji Abdul Rahim, berumur 31 tahun, merupakan anak jati Daerah Temburong yang telah bermastautin di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie sejak 1 Mei 2000, iaitu selama 26 tahun.
Beliau mempunyai kelulusan Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Kehakiman) dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), yang memberikan beliau asas pengetahuan dalam bidang Syariah, Fiqh dan kehakiman serta kefahaman terhadap nilai-nilai agama dan kehidupan bermasyarakat.
Dari segi pengalaman pekerjaan, beliau pernah mengikuti program i-Ready sebagai Pegawai Siasatan di Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) selama satu tahun enam bulan dari April 2021 hingga Oktober 2022.
Pengalaman tersebut telah memberikan pendedahan kepada beliau dalam aspek pengurusan, penyiasatan serta urusan yang melibatkan masyarakat. Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai Penyelia Sekuriti di Sphere Secure Services sejak 14 Oktober 2024.
Kedudukan sebagai penyelia juga memberi pengalaman dalam mengurus dan menyelia kakitangan serta melaksanakan tugas dengan penuh disiplin dan tanggungjawab.
Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Zon 2, Daerah Temburong berkenaan seterusnya akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, bagi proses selanjutnya.