Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Para penerima Bintang-bintang Kebesaran Negara meluahkan rasa penuh syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala serta menjunjung kasih yang setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara dalam Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam (NBD) yang berlangsung di Istana Nurul Iman, pagi tadi.
Pengurniaan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan para penerima dalam menggalas tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan. Selain itu, sumbangan para penerima kepada agama, raja dan negara juga turut mendapat penghargaan bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Pada masa yang sama, para penerima menyifatkan pengurniaan berkenaan sebagai satu penghormatan yang amat besar dan bermakna, di samping menjadi pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih serta memberikan sumbangan, dedikasi dan komitmen terbaik demi kemajuan negara.
Mereka turut menzahirkan doa agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar sentiasa dikurniakan rahmat, kesejahteraan, kesihatan yang berpanjangan serta berada di bawah lindungan Allah Subhanahu Wata'ala.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan yang dikurniakan Bintang Kebesaran Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Pertama (P.S.N.B), meluahkan rasa syukur atas limpah perkenan tersebut.
Menurut Yang Berhormat, pengurniaan itu merupakan satu penghormatan yang amat besar dan akan dijunjung sebagai satu amanah untuk terus melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan, dedikasi dan rasa tanggungjawab dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dayang Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab yang dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Pertama (S.P.M.B), turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala serta menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan yang diterima.
Yang Mulia Timbalan Menteri menyifatkan pengurniaan tersebut sebagai satu penghormatan yang amat bermakna dan berikrar untuk terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh dedikasi, sekali gus memperkukuh usaha memacu pembangunan ekonomi, perdagangan dan industri negara serta menyokong pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak yang turut dikurniakan Darjah S.P.M.B, turut berkongsi perasaan syukur dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah DYMM.
Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Dayang Nor Imtihan menyatakan bahawa pengurniaan tersebut membawa makna yang amat besar dan menjadi pemangkin untuk terus menggalas amanah serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh komitmen demi menyumbang kepada pembangunan negara selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Yang Mulia Datin Seri Paduka turut merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala agar Kebawah DYMM sentiasa dikurniakan usia yang panjang, kesihatan yang berpanjangan, kebahagiaan, rahmat serta perlindungan-Nya dalam terus memimpin NBD ke arah kemajuan dan kesejahteraan yang berterusan.
Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara bukan sahaja menjadi lambang penghargaan tertinggi negara terhadap jasa dan bakti para penerima, malah menjadi amanah yang akan terus dipikul dengan penuh keinsafan, kesetiaan dan iltizam untuk berkhidmat kepada agama, raja dan negara.