PENTARAMA meriahkan Pentas Perayaan Daerah Brunei dan Muara

23 Jul 2026 - 7:05am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Julai. - Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik telah mengadakan Persembahan PENTARAMA sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 bagi Tahun 2026 di Daerah Brunei dan Muara bertempat di Pentas Perayaan Kawasan Lapang berhadapan Muzium Alat Kebesaran Diraja, malam tadi.

PENTARAMA iaitu pentas, tari dan drama ialah salah satu kaedah yang digunakan oleh Jabatan Penerangan sejak tahun 1988 untuk menyalurkan maklumat rasmi kepada orang ramai secara bersemuka melalui persembahan pentas.

Melalui program berbentuk ‘infotainment’ ini, Jabatan Penerangan secara tidak langsung memberikan pendidikan dan perkongsian maklumat kepada pelbagai peringkat kelompok sasaran tentang nilai-nilai positif, kesedaran sivik dan semangat patriotisme, keagamaan, pendidikan dan perutusan atau mesej yang berkisar hal ehwal semasa negara, termasuk masalah sosial dalam kalangan masyarakat.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Biro Kawalan Narkotik, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail dan isteri.

Turut hadir, Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Awang Haji Emzah selaku Pengerusi Persembahan PENTARAMA; Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini selaku Timbalan Pengerusi Persembahan PENTARAMA; penghulu dan ketua-ketua kampung di bawah Mukim Berakas ‘A’ serta pegawai-pegawai kerajaan.

Persembahan dimulakan dengan lagu tema PENTARAMA dan tarian daripada Penari De Mahkota Dance Group dan diteruskan dengan nyanyian solo dan berkumpulan dari artis-artis tanah air iaitu, Marsya Dania, Mimi Wahab, Andie Othman, Ak. Shawn dan Ak. Fiqi.

Kumpulan Pento ‘XYZ’ di bawah naungan PGS RMF Production yang terdiri daripada pelakon-pelakon tempatan pula mempersembahkan drama bertajuk ‘Bukan Sekadar Gurauan’.

Ia mengisahkan tentang bagaimana satu perbuatan penyalahgunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence - AI) yang mulanya dianggap sebagai gurauan namun akhirnya berkembang menjadi perlakuan jenayah yang lebih serius, iaitu jenayah rasuah.

Melalui penceritaan tersebut, penonton turut didedahkan kepada kepentingan menggunakan teknologi secara beretika serta kesan buruk penyalahgunaannya. Para penonton turut dihiburkan dengan persembahan lawak jenaka oleh Najib & Loh (BruHaha) yang menyampaikan mesej kesedaran mengenai jenayah penipuan (scam) dan perkongsian maklumat yang sahih dan tepat.

Persembahan yang diselitkan dengan unsur lawak jenaka itu memberi pendedahan kepada orang ramai tentang pelbagai taktik penipuan yang semakin berleluasa, di samping menggalakkan masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya.

Selain itu turut diadakan ialah Kuiz PENTARAMA untuk para penonton, yang mana penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Acara diakhiri dengan persembahan nyanyian oleh barisan artis dengan membawakan lagu ‘Dirgahayu’. Persembahan PENTARAMA ini akan diteruskan lagi ke daerah-daerah lain iaitu Daerah Tutong, pada Jumaat 24 Julai 2026, di Pentas Perayaan, Kawasan Lapang Berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Pekan Tutong dan diakhiri di Daerah Belait, pada Sabtu 25 Julai 2026 di Pentas Perayaan, Kawasan Gerai Tudung Saji, Daerah Belait.

Persembahan pada tahun ini pertama kalinya dimulakan di Daerah Temburong pada Sabtu, 18 Julai 2026 yang lalu. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk hadir menyaksikan Persembahan PENTARAMA bagi sama-sama memeriahkan lagi Pentas Perayaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026.